comscore
Tumpuan :
Nasional

102 kaki judi ditahan dalam Ops Dadu Khas

FOTO: PDRM

JOHOR BAHRU: Seramai 102 kaki judi ditahan dalam tempoh dua hari menerusi Op Dadu Khas yang dijalankan serentak seluruh negeri ini, bagi membanteras kegiatan pelbagai bentuk perjudian.

Ketua Polis Johor, Komisioner M.Kumar berkata, semua suspek berusia 18 hingga 67 tahun ditahan menerusi 87 serbuan pada Sabtu lalu hingga semalam.

Katanya, ia membabitkan pelbagai jenis perjudian termasuk judi secara atas talian dan loteri awam tanpa lesen.

FOTO: PDRM

“Wang tunai berjumlah RM15,195 serta pelbagai perkakasan perjudian antaranya 94 unit telefon bimbit, 39 pencetak mudah alih, 155 helai kertas catatan, 104 daun terup, kerusi, meja dan modem wifi turut dirampas dalam serbuan itu.

“Semua 91 warga tempatan terbabit dipohon reman bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah, manakala 11 warga asing direman di bawah Akta Imigresen 1959/63,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Sejak awal tahun ini hingga semalam, polis Johor menangkap 1,594 individu atas pelbagai kesalahan perjudian hasil 1,168 serbuan menerusi Op Dadu.

Dalam tempoh sama juga, pelbagai rampasan dibuat membabitkan 1,179 unit telefon bimbit, 507 pencetak mudah alih, 105 keping daun terup yang bernilai RM 460,855.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini