comscore
Tumpuan :
Nasional

104 kenderaan dikenakan tindakan salah guna permit pengedaran antarabangsa

FOTO: NSTP

KOTA BHARU: 104 kenderaan dikenakan tindakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akibat salah guna permit pengedaran antarabangsa (ICP) termasuk berada di negara ini hingga tiga tahun berbanding tempoh asal iaitu hanya 90 hari yang dibenarkan.

Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Muhammad Kifli Ma Hassan berkata, kesalahan lain yang turut dikesan ialah kenderaan asing dari Thailand yang masuk melalui Kelantan melebihi dua kilometer tidak mendaftar ICP dan mempamerkan nombor pendaftaran palsu.

Beliau berkata kesemua kesalahan itu dikesan menerusi Ops Khas ICP yang dilaksanakan oleh JPJ Kelantan dengan kerjasama JPJ Ibu Pejabat di pintu sempadan Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Rantau Panjang dan Bukit Bunga sejak 5 September hingga semalam.

“Tindakan penguatkuasaan ini dilaksanakan dengan mengadakan sekatan jalan raya (SJR) dan rondaan oleh anggota penguat kuasa di kawasan yang telah dikenal pasti melepasi jarak dua kilometer dari pintu sempadan dengan tujuan agar semua kenderaan asing memasuki negara ini mengikut peraturan ditetapkan.

Foto: NSTP

“Sepanjang operasi itu, sebanyak 484 kenderaaan dari Thailand yang melebihi jarak dua kilometer diperiksa dan daripada jumlah itu 104 kenderaan diambil tindakan selain 55 kenderaan termasuk motosikal disita,” katanya pada sidang media sempena Program Lawatan Kerja di JPJ Kelantan di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Muhammad Kifli berkata kesalahan yang dikesan itu dilakukan di bawah subseksyen 21(5) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan di bawah subkaedah 7(2) Kaedah-kaedah Kenderaan Motor (Peredaran Antarabangsa 1976) dan jika disabitkan kesalahan boleh didenda di bawah subseksyen 119(2) dengan tidak melebihi RM2,000 atau penjara selama tempoh tidak melebihi enam bulan.

Selain itu, jika disabit kesalahan di bawah Seksyen 7(2)(d) APJ 1987 iaitu bagi kesalahan memiliki atau menggunakan kenderaan motor asing tidak sah disisi undang-undang Malaysia boleh dikenakan denda tidak kurang RM2,000 dan tidak melebihi RM10,000.

FOTO: NSTP

“Bagi kesalahan mempamerkan nombor pendaftaran palsu ia membabitkan kesalahan di bawah subseksyen 108(3)(e) APJ 1987 dan boleh dikenakan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak melebihi RM20,000 atau dipenjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali,” katanya.

Beliau berkata bagi mengekang kesalahan ini daripada terus berleluasa pihaknya mengarahkan JPJ Kedah, Perlis dan Perak yang bersempadan dengan Thailand untuk melaksanakan penguatkuasaan itu terutamanya membabitkan kenderaan dari Thailand.

“Kita tidak mahu menyekat kemasukan pelancong termasuk dari Thailand, tetapi kita berharap mereka mematuhi peraturan yang ditetapkan termasuk memohon permit ICP ini bagi mengelakkan sebarang tindakan malah permit ini juga adalah percuma,” katanya.-BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini