comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] 104 ventilator tidak berfungsi ketika Dr Adham jadi Menteri Kesihatan – dedah Mas Ermieyati 

 

KUALA LUMPUR:  Pembelian 104 unit ventilator yang gagal berfungsi dibuat sewaktu Datuk Seri Dr Adham Baba berkhidmat sebagai Menteri Kesihatan.

Pengerusi Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC), Datuk Mas Ermieyati Samsudin mendedahkan perkara itu pada sidang media di Dewan Rakyat, hari ini.

“Memang semua sudah sedia maklum, ini (berlaku) di bawah, sewaktu menteri (kesihatan) Dr Adham Baba. Yang Berhormat (YB) KJ (Khairy Jamaluddin) pun sudah bagi kenyataan (menafikan perolehan peralatan ventilator) bukan dibuat ketika beliau menjawat jawatan berkenaan,” katanya.

Dr Adham dilantik menerajui Kementerian Kesihatan (KKM) di bawah Kabinet Perdana Menteri kelapan, Tan Sri Muhyiddin Yassin, pada 2020.

Pentadbiran Datuk Seri Ismail Sabri sebagai Perdana Menteri kesembilan pula menyaksikan Dr Adham bertukar portfolio dengan Khairy yang ketika itu menerajui Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI).

Laporan prosiding PAC setebal 120 muka surat yang dimuatnaik menerusi laman web Parlimen pada Isnin lalu mendedahkan, sebanyak 104 unit ventilator tidak dapat digunakan.

Malah, tiada perjanjian bertulis dimeterai antara KKM dan syarikat pembekal, Pharmaniaga Logistics Sdn Bhd (PLSB).

Menurut laporan itu lagi, perbincangan, penilaian dan keputusan berhubung perolehan ventilator terpaksa dilaksanakan di luar kebiasaan iaitu melalui WhatsApp sahaja disebabkan kekangan semasa PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) dan faktor kesegeraan serta keterdesakan situasi ketika itu.

Laporan PAC itu juga menyebut, ketiadaan perjanjian bertulis antara KKM dan PLSB menyebabkan tiada mana-mana pihak boleh dipertanggungjawabkan untuk diambil tindakan berhubung kegagalan 104 unit ventilator berfungsi.

PAC juga mendedahkan  8.5 juta dos vaksin bernilai RM505 juta luput tempoh hayat setakat 15 Jun lalu.

Susulan pembentangan Laporan PAC berhubung Pengurusan Wabak COVID-19 : Vaksin Luput Tempoh Hayat, Peralatan Ventilator Tidak Dapat Digunakan dan Lebihan Peralatan Perlindungan Peribadi (PPE) di bawah KKM, Mas Ermieyati berkata, pihaknya memberi masa dua bulan kepada KKM untuk menjawab lima syor dikemukakan jawatankuasa terbabit.

“Selepas PAC mengadakan prosiding maklum balas, PAC akan membentangkan laporan tindakan susulan berhubung isu ini yang akan mengandungi maklum balas KKM terhadap syor PAC di Parlimen. Dalam setiap isu yang disiasat PAC, dua laporan akan dihasilkan iaitu yang pertama laporan PAC yang mana PAC akan memberi rumusan dan syor terhadap isu berkenaan.

“Selepas itu, PAC akan membentangkan laporan kedua iaitu berhubung maklum balas kementerian terhadap syor PAC. Kedua-dua laporan ini akan melalui lima mesyuarat sebelum ia dapat dihasilkan serta dibentangkan di Parlimen,” katanya.

Loading...
Terkini