comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] 106 kontena dikesan bawa sisa e-waste

KLANG: Sebanyak 301 kontena yang disyaki mengandungi sisa elektronik dan elektrik (e-waste) haram ditahan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) antara 21 Mac hingga 19 Jun lalu.

Menurut Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES), Nik Nazmi Nik Ahmad pemeriksaan lanjut mendapati 106 daripadanya mengandungi sisa e-waste manakala selebih membawa muatan skrap logam.

Anggaran keuntungan kasar satu kontena berkenaan boleh mencecah sehingga RM80,000.

“Kalau 106 (kontena) bererti lebih RM8 juta keuntungan diperoleh sekiranya mereka (sindiket dan kilang haram) boleh proses sepenuhnya dan kita isytihar perang kepada mereka.

“Siasatan turut mendapati ada beberapa negara maju terutamanya yang kita terima maklumat di sana banyak pihak mendakwa memproses secara lestari atau menggunakan semula e-waste.

“Namun, sebaliknya ia tidak diproses di sana dan di hantar ke negara-negara membangun. Ini menjadi lebih serius apabila negara China mengetatkan kemasukan barangan ini,” katanya pada sidang media selepas melakukan lawatan kerja ke Pelabuhan Barat berhubung isu kemasukan kontena e-waste, di sini hari ini.

Beliau berkata, kontena yang membawa dagangan e-waste, masih lagi disiasat Jabatan Alam Sekitar (JAS) mengikut Seksyen 34B Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

Manakala bagi yang membawa skrap logam, ia disiasat JKDM yang tertakluk di bawah kesalahan mengikut Seksyen 135 (1a) Akta Kastam 1967 kerana mengimport barangan larangan di bawah Butiran 5 Jadual Keempat, Perintah Kastam (Larangan Mengenai Import) 2023.

Katanya, sebarang pengimportan skrap logam perlu mengikut tatacara yang telah digariskan oleh MITI yang mana pihak pengimport perlu mendapatkan Certificate of Approval (COA) daripada SIRIM.

Mengulas lanjut, Nik Nazmi berkata laporan berhubung operasi JAS serta JKDM akan dibawa ke Kabinet untuk penambahbaikan dalam aspek penguatkuasaan.

“Saya rasa dari segi dasar dan peraturan sudah baik dengan pindaan hukuman baharu bagaimanapun dari penguat kuasaan ada cabaran yang perlu dilihat. Kerjasama harus dilakukan merentasi kementerian dan kita tidak boleh bergerak secara silo.

“Kalau JAS dan JKDM semata -mata tidak mampu. Ini disebabkanKastam di pintu masuk dan JAS kawal selia alam sekitar. Namun kebenaran merancang, penguatkuasaan di peringkat ‘local’ memerlukan pihak berkuasa tempatan,” katanya.

Beliau berkata, pihaknya berusaha keras untuk keluar daripada isu kemasukan sisa haramtermasuk e-waste bagaimanapun terdapat beberapa cabaran dan ia tidak boleh diselesaikan serta merta.

“Saya tengok agensi-agensi yang adamemang serius jadi kita perlukan usaha bersepadu agar kita dapat membanteras isu ini (kemasukan sisa haram),” katanya.

Mengulas lanjut, beliau menjelaskan penguatkuasaan terhadap pindaan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 akan bermula pada 7 Julai ini.

“Pindaan sudah diluluskan di Dewan Rakyat dan sekarang dalam proses perwartaan. Saya pun telah menandatangani penguatkuasaannya bermula 7 Julai.

“Jadi lepas ini, denda akan lebih tinggi iaitu sampai RM10 juta berbanding RM500,000 sekarang selain penjara. Ini usaha kita untuk bendung masalah ini (sisa haram dan kualiti alam sekitar),” ujarnya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini