comscore
Tumpuan :
Nasional

108 kesalahan di institut, sekolah memandu di Pulau Pinang dari Jan – April 2024

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang, Zulkifly Ismail (berdiri) beramah mesra dengan tetamu yang hadir pada Majlis Riang Raya Aidilfitri di Pejabat JPJ negeri di Seberang Jaya, Butterworth. FOTO: NSTP

BUTTERWORTH: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang mengesan 108 kesalahan sepanjang empat bulan mengadakan operasi mengejut terhadap 10 institut dan sekolah memandu di negeri itu, tahun ini.

Daripada jumlah itu, sebanyak 132 notis termasuk saman dikeluarkan atas pelbagai pelanggaran peraturan yang sering dilakukan oleh pengajar, calon yang belajar, pemilik serta kenderaan yang digunakan semasa proses pembelajaran.

Pengarahnya, Zulkifly Ismail berkata pihaknya memeriksa 642 kenderaan yang digunakan untuk pembelajaran memandu sepanjang operasi itu dan 39 daripadanya didapati melakukan pelbagai kesalahan.

“Antara kesalahan yang dikesan adalah pengajar tidak memiliki dan gagal mengemukakan Sijil Pengajar Institut Memandu (SPIM), selain pengajar tinggal calon tanpa pengawasan serta menggunakan kenderaan belajar di luar litar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada Majlis Riang Raya Aidilfitri di Pejabat JPJ negeri di Seberang Jaya, di sini, hari ini.

Jelasnya, pemeriksaan turut mendapati ada institut memandu gagal memastikan kenderaan yang digunakan calon ketika belajar berada pada tahap terbaik.

Ini termasuk tayar kereta haus dan ada kenderaan tidak mempamerkan sijil yang membolehkan ia digunakan untuk belajar.

Tambah Zulkifly, pihaknya turut memeriksa 511 pengajar dan calon yang mana 28 orang telah diambil tindakan.

Mengulas lanjut, Zulkifly berkata operasi ke atas institut dan sekolah memandu itu dijalankan Bahagian Penguatkuasaan JPJ negeri secara berkala pada setiap bulan.

“Ia adalah bagi memeriksa keseluruhan perjalanan operasi institut memandu sama ada di dalam litar atau di jalan mematuhi peraturan yang ditetapkan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan kaedah- kaedah di bawahnya,” ujarnya.

Menurut Zulkifly, langkah itu bagi memastikan institut memandu melahirkan pemandu baharu yang cekap dan memahami peraturan untuk memandu di jalan raya.

“Pada masa sama, mahu memastikan kenderaan yang digunakan untuk pembelajaran dan ujian memandu adalah sentiasa dalam keadaan selamat digunakan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini