comscore
Tumpuan :
Nasional

108 PATI ditahan di Semporna dan Kunak

FOTO: NSTP

TAWAU: Seramai 108 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah atas pelbagai kesalahan menerusi Operasi Penguatkuasaan (Ops Kutip / Mahir) di daerah Semporna dan Kunak, semalam.

Operasi lebih 10 jam bermula 8.50 pagi yang mensasarkan beberapa lokasi tumpuan termasuk tapak pembinaan itu, disertai seramai 63 pegawai dari pejabat Imigresen Kota Kinabalu, Lahad Datu dan Tawau.

Ketua Pengarahnya, Datuk Sharifah Sitti Salehah Habib Yussof berkata, sepanjang operasi itu, lebih 1,200 individu diperiksa dan daripada jumlah itu, 81 orang ditahan di Semporna, manakala 27 lagi ditahan di Kunak.

Beliau berkata, mereka yang ditahan terdiri daripada 101 warga Filipina, China (enam) dan seorang warga Pakistan, masing-masing berumur antara satu hingga 66 tahun.

FOTO: NSTP

“Antara kesalahan dikenal pasti termasuk tiada dokumen perjalanan atau pengenalan diri yang sah mengikut Seksyen 6(1)(c), tinggal melebihi masa Seksyen 15(1)(c), penyalahgunaan pas mengikut Peraturan 39(b), serta membenarkan imigran haram untuk masuk dan tinggal di premis yang menjadi kesalahan di bawah Seksyen 56(1)(d).

“Ketika operasi, beberapa PATI cuba melarikan diri, namun gagal apabila berjaya ditahan pegawai dan pasukan serbuan,” katanya pada sidang media di Depot Tahanan Imigresen (DTI) Tawau, di sini, semalam.

Dalam pada itu katanya, JIM Sabah menerima peruntukan RM50 juta pada tahun ini bagi menaik taraf semua empat depot tahanan iaitu di Kota Kinabalu, Papar, Tawau dan Sandakan, yang masing-masing akan menerima RM12.5 juta membabitkan projek menaik taraf pagar untuk kawalan keselamatan.

“Projek naik taraf bermula tahun ini secara berfasa dalam tempoh dua tahun juga akan membabitkan semua blok tahanan termasuk mewujudkan ruang untuk berehat (rest floor) yang memenuhi standard hak asasi manusia oleh Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam),” jelasnya.

Tambahnya, kapasiti maksimum empat depot di Sabah iaitu 7,200 orang masih mampu menampung jumlah tahanan ketika ini iaitu masing-masing 3,808 orang warga Filipina, 741 warga Indonesia, lapan warga China, 21 warga Pakistan, 19 warga Vietnam dan 11 tiada negara (stateless).

Bagaimanapun katanya, berlaku sedikit kelewatan penghantaran pulang membabitkan tahanan warganegara Filipina berikutan terdapat perubahan format membabitkan sistem di kedutaan negara berkenaan yang menyebabkan proses pengusiran tertangguh buat masa ini.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini