comscore
Tumpuan :
Nasional

11 motosikal warga asing disita

Warga asing yang ditahan selepas melakukan kesalahan trafik dalam Op Khas (Warga Asing) di Jalan Pekan Tunjang, Jitra. – FOTO: Ihsan PDRM

JITRA: Polis menyita 11 motosikal yang ditunggangi warga asing dalam Op Khas (Warga Asing) yang dilakukan di Jalan Pekan Tunjang,  Jitra-Kodiang di sini, petang semalam.

Ketua Polis Daerah Kubang Pasu, Superintendan Rodzi Abu Hassan berkata, operasi dilakukan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu berdasarkan maklumat awam yang diterima.

Beliau berkata, dalam operasi yang diketuai Inspektor Mazuan Wan Mahmud itu, sebanyak 31 saman dikeluarkan terhadap pelbagai kesalahan trafik yang dilakukan termasuk tiada lesen memandu dan tiada lesen kenderaan motor.

“Kesemua 11 motosikal turut disita atas pelbagai kesalahan.

“Warga asing terbabit berusia antara 25 hingga 40 tahun dan mereka dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu untuk proses dokumentasi dan dibebaskan dengan penjamin.

“Mereka yang ditahan memiliki pasport dan kad Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian (UNHCR),” katanya.

Rodzi berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak terutama warga asing yang melakukan kesalahan, jika tidak mematuhi undang-undang. – HARIAN METRO

Loading...
Terkini