comscore
Tumpuan :
Nasional

11 notis pencatutan dikeluarkan kepada pembekal, peniaga ayam di Johor

Harga ayam segar yang dijual di sekitar bandar raya ini naik 30 sen kepada RM9.80 sekilogram bermula kelmarin. – FOTO: NSTP

KULAI: Sebanyak 11 notis dikeluarkan kepada pembekal dan peniaga ayam segar di negeri ini, dalam pemeriksaan yang dilakukan susulan dakwaan kenaikan harga bahan keperluan pengguna itu, semalam.

Pengarah Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Johor, Lilis Saslinda Pornomo berkata, ia membabitkan Notis Pengesahan Maklumat Barangan yang dikeluarkan kepada pembekal dan peniaga mengikut Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011.

Beliau berkata, notis itu mengkehendaki pembekal dan peniaga mengemukakan invois dan dokumen berkaitan bagi membuktikan berlaku kenaikan harga dalam rantaian bekalan.

Katanya, jika perkara itu gagal dibuktikan pembekal dan peniaga, mereka akan dikompaun atau didakwa di mahkamah kerana pencatutan.

“KPDN Johor tidak pernah berdiam diri dan memeriksa harga barangan terutama bahan mentah setiap hari bagi memastikan tiada unsur pencatutan dan manipulasi harga berlaku.

“Sebanyak 11 notis dikeluarkan penguat kuasa KPDN dalam pemeriksaan bahan mentah membabitkan ayam segar yang dilakukan di negeri ini, semalam.

“Kita akui terdapat sedikit peningkatan harga ayam segar selepas tiada lagi kawalan terhadap bahan mentah itu, namun ia tidaklah terlalu ketara.

“Bagaimanapun, kita akan terus meningkatkan pemeriksaan harga bahan mentah bagi memastikan tiada pencatutan dan manipulasi harga berlaku apatah lagi dalam suasana musim perayaan ketika ini,” katanya

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas pelupusan barangan palsu membabitkan pelbagai jenama di Stor Eksibit KPDN Johor, di Senai, hari ini.

Kelmarin, harga ayam segar yang dijual di sekitar bandar raya ini dilaporkan naik 30 sen kepada RM9.80 sekilogram.

Dalam pada itu, Lilis Saslinda berkata, bekalan ayam segar di negeri ini juga masih mencukupi menerusi pemeriksaan yang dibuat setakat ini.

“KPDN Johor berharap orang ramai segera menyalurkan aduan mereka kepada kami sekiranya terdapat kenaikan harga atau pun bekalan bahan mentah tidak mencukupi di kawasan mereka.

“Ia bagi membolehkan kami segera bertindak bagi mengatasi sama ada isu kenaikan harga barang atau masalah kekurangan bekalan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini