Tumpuan :
Nasional

11 premis perniagaan warga asing diarah tutup serta-merta

Sebanyak 11 premis perniagaan dikendalikan warga asing di Taman Bintang Utama, Senai, di sini, diarah tutup serta-merta. – FOTO: Ihsan MPKu

KULAI: Sebelas premis perniagaan dikendalikan warga asing di Taman Bintang Utama, Senai, di sini, diarah tutup serta-merta dalam operasi bersepadu dijalankan Majlis Perbandaran Kulai (MPKu), semalam.

Pengerusi Jawatankuasa Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor, Datuk Mohd Jafni Md Shukor berkata, 11 premis berkenaan diberikan Notis Tutup Premis kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen dan dikendalikan oleh warga asing.

Katanya, antara premis dikendalikan warga asing yang diarah tutup serta merta itu adalah premis urutan, telefon bimbit serta kedai serbaneka.

“MPKu telah menjalankan operasi bersepadu pemeriksaan premis yang dikendalikan oleh warga asing di Kulai, semalam.

“Hasilnya, 11 Notis Tutup Premis telah dikeluarkan dengan perniagaan berkenaan diarah tutup serta merta kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen serta dikendalikan oleh warga asing.

“Sebanyak 14 Notis Arahan Hadir ke MPKu telah dikeluarkan kepada pemilik premis untuk memberikan keterangan lanjut dan mengisi borang Aku Janji Menjalankan Perniagaan.

“Manakala sebanyak sembilan notis lagi dikeluarkan kerana pemilik premis tidak mematuhi peraturan ruang siar kaki,” katanya dalam kenyataan, hari ini .

Mohd Jafni berkata, operasi bersepadu terutama memeriksa perniagaan dikendalikan warga asing akan ditingkatkan dari masa ke semasa.

Katanya, pemilik perniagaan diingatkan tidak menjalankan perniagaan tanpa lesen dan tidak menggajikan pekerja warga asing tanpa permit yang sah.

“Selain itu, pemilik lesen dilarang menyalahgunakan lesen bagi tujuan menyerah pemilikan lesen kepada orang lain terutamanya warga asing.

“Jika didapati bersalah, pemilik lesen boleh dikenakan denda RM2,000 atau dipenjara dua tahun atau kedua-duanya sekali sebagaimana Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Tred, Perniagaan & Perindustrian (MPKu) 2019,” katanya.

Orang awam boleh menyalurkan aduan penyalahgunaan lesen perniagaan kepada warga asing dengan memberikan maklumat dan bukti yang lengkap kepada MPKu di alamat email [email protected].

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini