comscore
Tumpuan :
Nasional

11 tempat letak kereta DBKL dilesenkan sebagai joki

Oleh: Juliana Sharin

PETALING JAYA: Tempat letak kereta terbuka di tepi lorong Off Jalan Sultan Ismail yang dirujuk pengadu dalam video tular mendakwa adanya ‘Ulat Parkir’ merupakan kawasan yang dilesenkan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk dijokikan.

DBKL menerusi kenyataan lewat petang tadi memaklumkan siasatan pihaknya mendapati 8 petak parkir di kawasan itu telah disewa kepada syarikat persendirian untuk perkhidmatan joki selepas waktu pejabat.

“Tempat letak kereta ini merupakan petak parkir di bawah kawalan DBKL dan dikenakan bayaran parkir. Bayaran dikenakan pada waktu pejabat iaitu sehingga pukul 5 petang,” menurut kenyataan itu.

Sehubungan itu, bagi memastikan orang awam maklum mengenai perkhidmatan tersebut, DBKL telah mengarahkan pihak operator joki meletakkan papan tanda makluman operasi di tapak berkenaan dengan segera.

Dimaklumkan, keseluruhan terdapat 11 tempat letak kereta DBKL telah dilesenkan sebagai joki parkir di sekitar Kuala Lumpur.

Maka dijelaskan bukan semua tempat letak kereta DBKL boleh digunakan tanpa bayaran selepas waktu pejabat.

“Pasukan DBKL akan melakukan pemantauan dan penguatkuasaan yang lebih kerap di kawasan tumpuan ‘ulat parkir’ iaitu di Bukit Bintang, Jalan Beremi dan Jalan Walter Grenier bagi membanteras ‘ulat parkir’,” menurut kenyataan itu lagi.

Video tular yang dimuat naik Asyraf Rosli pada 27 Disember lalu di aplikasi X yang mendapat tontonan lebih 722 ribu.

Di video itu tertera tulisan bahawa dia telah diugut supaya membayar 15 ringgit bagi membolehkannya meletak kereta di sekitar Bukit Bintang pada waktu malam.

Dia turut menunjukkan kesan calar pada kereta didakwa akibat enggan membayar caj berkenaan.

Untuk rekod, seramai 75 ulat parkir telah diambil tindakan sejak tahun 2022 di bawah Seksyen 50(3) dan Seksyen 119(2) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

| ARTIKEL BERKAITAN

Loading...
Terkini