comscore
Tumpuan :
Nasional

110 kes jenayah seksual kanak-kanak bawah 6 tahun dilapor tahun lalu

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Sebanyak 110 kes daripada keseluruhan 1,570 kes jenayah seksual kanak-kanak yang dilaporkan tahun lalu melibatkan kanak-kanak di bawah umur enam tahun.

Dalam kenyataan bersama hari ini, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said dan Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata kes jenayah tersebut menunjukkan trend peningkatan dalam tempoh tujuh tahun kebelakangan ini.

“Statistik terkini dari tahun 2017 hingga 2023 melaporkan trend peningkatan yang membimbangkan dengan jumlah mangsa kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak yang dilaporkan adalah seramai 6,990 mangsa dengan 1,570 kes pada tahun 2023 sahaja. Peratus besar mangsa berada dalam lingkungan umur 13 hingga 15 tahun,” kata kenyataan itu.

Kenyataan tersebut memaklumkan Bahagian Hal Ehwal Undang-Undang (BHEUU) dengan kerjasama Kementerian Pendidikan (KPM) mengadakan mesyuarat hari ini yang dihadiri Azalina dan Fadhlina, dalam usaha ke arah mencapai misi Kerajaan Perpaduan bagi membanteras jenayah seksual terhadap kanak-kanak dan meningkatkan kesedaran orang ramai termasuk kanak-kanak.

Mesyuarat yang turut dihadiri wakil KPM, BHEUU, Jabatan Peguam Negara (AGC), Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (SUHAKAM), Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) itu juga bertujuan mengatur strategi ke arah menangani isu mendesak berhubung kekurangan pelaporan jenayah seksual terhadap kanak-kanak.

“Salah satu cabaran besar yang dihadapi kerajaan pada hari ini ialah isu kekurangan pelaporan kes terutamanya pelaporan oleh kalangan kanak-kanak. Berdasarkan statistik PDRM, lebih daripada 80 peratus jenayah seksual terhadap kanak-kanak melibatkan individu yang dikenali oleh mangsa.”

“Justeru, seluruh anggota masyarakat memainkan peranan penting untuk melindungi anak-anak kita daripada ancaman jenayah seksual yang semakin menjadi-menjadi,” lagi menurut kenyataan itu.

Susulan pelancaran Garis Panduan Pengurusan Salah Laku Seksual di Institusi Pendidikan bawah KPM, BHEUU akan memeterai Nota Kerjasama dengan kementerian terbabit untuk meningkatkan kesedaran dalam kalangan pelajar dan pendidik mengenai peruntukan undang-undang berkaitan isu tersebut.

Nota Kerjasama berkenaan juga bagi mewujudkan mekanisme pelaporan yang berkesan dan mesra kanak-kanak.

Mengulas lanjut, tambah kenyataan itu, kempen kesedaran bersifat menyeluruh dalam usaha membanteras jenayah seksual kanak-kanak akan dilancarkan dalam masa terdekat.

Kempen melibatkan semua sektor dan agensi berkaitan itu akan disebar luas di seluruh negara bagi menekankan tanggungjawab setiap individu untuk melaporkan kejadian penderaan seksual kumpulan tersebut.

Ia juga antara lain akan melibatkan pendekatan ‘Training of Trainers’ (ToT) yang mana guru dan pemimpin masyarakat akan dididik untuk mengesan serta melaporkan kes yang berlaku dalam persekitaran sekolah secara berkesan.

“Seksyen 19 Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual terhadap Kanak-Kanak [Akta 792] jelas memperuntukkan bahawa kegagalan untuk melaporkan jenayah ini merupakan satu jenayah dan peruntukan ini jelas menggambarkan betapa pentingnya bagi rakyat Malaysia menjadi mata dan telinga kerajaan dalam menangani isu ini.

“Kerajaan Perpaduan komited untuk berganding bahu bersama rakyat Malaysia untuk mengatasi cabaran kekurangan pelaporan kes jenayah seksual terhadap kanak-kanak bagi terus memupuk persekitaran yang selamat untuk anak-anak kita,” menurut kenyataan itu.

Loading...
Terkini