comscore
Tumpuan :
Nasional

1,100 calon SPM MRSM peroleh semua A

KUALA LUMPUR: Keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023 bagi Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) mencatatkan indeks Gred Purata Maktab (GPM) 2.400 dengan 100 peratus calon layak menerima sijil peperiksaan itu.

Seramai 7,981 calon daripada 55 MRSM menduduki peperiksaan SPM pada tahun lalu.

MARA dalam satu kenyataan memaklumkan, lapan MRSM terbaik adalah MRSM Tun Ghafar Baba, MRSM Taiping, MRSM Kepala Batas, MRSM Johor Bahru, MRSM Pasir Tumboh, MRSM Kuala Kubu Bharu, MRSM Alor Gajah dan MRSM Pengkalan Chepa.

Lapan MRSM itu mencatatkan GPM kurang daripada 2.0.

Sebanyak 31 MRSM pula berjaya mencapai sasaran Bahagian Pendidikan Menengah (BPM) dengan memperoleh GPM kurang daripada 2.50.

Tiga MRSM lagi berjaya mencapai sasaran GPM yang ditetapkan mengikut program iaitu MRSM Tun Ghafar Baba, yang mencapai sasaran program Bitara kurang daripada 1.50.

MRSM Kepala Batas bagi program Ulul Albab mencapai GPM kurang daripada 1.80 dan MRSM Pasir Tumboh bagi program Premier kurang daripada 2.00.

“Pencapai SPM 2023 menunjukkan prestasi yang memberangsangkan dengan bilangan calon memperoleh semua A+ adalah seramai 44 orang, berbanding 2022 dengan seramai 34 orang.

“Bilangan calon yang memperoleh semua A (A+, A dan A-) adaah seramai 1,100 orang pada 2023 berbanding 2022 yang mencatatkan hanya 1,006 orang saja,” katanya.

Menurut kenyataan itu, terdapat peningkatan Gred Purata Subjek (GPS) bagi subjek teras Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris dan Matematik.

Bagi subjek Bahasa Inggeris, sebanyak 53 MRSM berjaya mencapai KPI BPM dengan lebih daripada 81 peratus pelajar memperoleh Gred Kepujian Tertinggi (Gred B+ dan ke atas).

“MRSM Kepala Batas, MRSM Gemencheh dan MRSM Pasir Salak mencatatkan keputusan 100 peratus A (A+, A dan A-) bagi subjek Matematik, manakala sembilan MRSM mencatatkan keputusan 100 peratus A (A+, A dan A-) bagi subjek Pendidikan Moral.

“Selan itu, subjek elektif seperti Prinsip Perakaunan juga menunjukkan peningkatan GPS. MRSM Kota Putra mencatatkan keputusan 100 peratus A bagi subjek Bahasa Arab,” katanya.

MARA turut memaklumkan pencapaian subjek Sains, Matematik, Kejuruteraan dan Teknologi (STEM) menunjukkan peningkatan GPS.

Ia membabitkan subjek Matematik, Matematik Tambahan, Fizik, Kimia, Biologi, Lukisan Kejuruteraan, Pengajian Kejuruteraan Mekanikal serta Pengajian Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini