comscore
Tumpuan :
Nasional

113 mangsa banjir Terengganu berpindah di 8 PPS

SETIU: Hujan lebat berterusan sejak pagi tadi menyebabkan Daerah Setiu pula terjejas banjir.

Kampung Hulu Seladang dan Kampung Padang Serai, merupakan kampung terpencil di daerah itu yang dinaiki air selepas air Sungai Seladang melimpah dan menggenangi rumah penduduk, kira-kira jam 5.40 petang tadi.

Bagaimanapun, hanya 36 mangsa membabitkan 14 keluarga selamat berpindah dengan bantuan Anggota Pertahanan Awam (APM).

Mereka kini berlindung di dua Pusat Pemindahan Sementara iaitu di Balairaya Kampung Padang Serai Guntung Luar dan Balairaya Kampung Seladang.

 

Masing-masing dibawa menaiki boat APM selepas jalan alternatif dikampung berkenaan terputus hubungan dan dinaiki air sedalam hampir satu meter.

Setakat jam 6.30 petang tadi, keseluruhan mangsa banjir di Terengganu ialah 113 mangsa banjir dari 43 keluarga ditempatkan di lapan pusat penempatan sementara (PPS).

Di daerah Dungun, seramai 26 mangsa dari enam keluarga, tujuh mangsa dari dua keluarga di Kemaman, 30 mangsa dari 14 keluarga di Hulu Terengganu, dan 14 mangsa dari lima keluarga di Daerah Besut.

Manakala tiga PPS di Marang yang dibuka sejak semalam ditutup jam 12.00 tengahari tadi, selepas banjir surut sepenuhnya.

Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia Negeri Terengganu, Mohd Rosman Abdullah, ketika dihubungi Buletin TV3 berkata, banjir gelombang ke empat yang melanda Terengganu masih terkawal.

Beliau menasihatkan penduduk yang terdedah dengan risiko banjir supaya sentiasa berwaspada dan segera berpindah jika rumah mereka dinaiki air berikutan hujan kadang kala lebat masih berlaku di beberapa tempat di negeri berkenaan.

Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) mengeluarkan amaran hujan berterusan melibatkan Terenganu dan Kelantan sehingga esok.

Loading...
Terkini