comscore
Tumpuan :
Nasional

114 premis di ibu negara tiada Sijil Perakuan Bomba 

KUALA LUMPUR: Pemilik 114 premis di ibu kota akan didakwa di mahkamah kerana tidak mempunyai Sijil Perakuan Bomba (FC).

Menurut Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Nor Hisham Mohammad pihaknya telah menjalankan pemeriksaan ke atas 1,046 premis di Kuala Lumpur sepanjang tahun lalu.

“Daripada jumlah itu, 392 premis tidak menguatkuasakan FC dan akan memperbaiki sebelum membuat permohonan semula.

“Manakala 114 premis dibawa ke cawangan pendakwaan bagi tujuan pendakwaan di mahkamah mengikut Seksyen 33 (Akta 341),” katanya pada sidang media di Kuarters Bomba Cheras, di sini, hari ini.

Terdahulu, Nor Hisham menyampaikan Sijil Anugerah Perkhdimatan Cemerlang (APC) kepada 71 pegawai JBPM Kuala Lumpur.

Nor Hisham berkata, antara sebab utama FC gagal dikeluarkan ialah kegagalan mengemukakan pelan bangunan, dan sistem di dalam bangunan tidak berfungsi.

“Sesetengah daripada premis ini adalah bangunan lama, pengurusan premis perlu membuat balik pelan bangunan dan ini memerlukan masa yang lama selain jumlah kewangan yang agak besar.

“Selain itu, sistem terutama sistem pancuran air tidak berfungsi. Kita sangat komited dalam usaha memastikan pematuhan tahap keselamatan kebakaran premis atau bangunan di Kuala Lumpur berada pada tahap optimum,” katanya.

Menurutnya, secara keseluruhan ketidakpatuhan terhadap FC ini adalah tidak kritikal kerana bangunan-bangunan baru sudah dilengkapi pelan bangunan.

“Namun dari aspek penguatkuasaan kita berada pada tahap 60 peratus bagi seluruh negara dan akan meningkatkan pemeriksaan premis bangunan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini