comscore
Tumpuan :
Nasional

12 ahli sindiket ‘Love Scam’, judi online ditahan polis

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed menunjukkan sebahagian daripada barang yang dirampas ketika sidang media khas mengenai beberapa kes jenayah komersil yang berjaya ditumpaskan, di Jabatan Siasatan Jenayah Komersil, Menara KPJ. FOTO: NSTP

KUALA LUMPUR: 12 ahli sindiket ditahan selepas polis menyerbu sebuah kediaman di ibu kota ini, yang dijadikan pusat panggilan sindiket penipuan ‘Love Scam’ serta judi dalam talian.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata, dalam serbuan 16 Mei itu, semua suspek yang ditahan adalah warga tempatan termasuk seorang wanita, berusia di antara 18 hingga 43 tahun.

Beliau berkata, 12 ahli sindiket yang ditahan itu berperanan sebagai ejen pusat panggilan dengan menerima gaji RM2,500 sebulan serta empat peratus komisyen daripada jumlah kerugian dialami mangsa.

“Siasatan mendapati sindiket ini mensasarkan mangsa di negara Amerika Syarikat (AS) dan aktif sejak April lalu.

“Sindiket ini akan mencipta akaun palsu di Facebook dan Instagram, seterusnya berkenalan dengan mangsa rakyat AS sebelum mangsa ditawarkan pautan judi dalam talian,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat JSJK Bukit Aman di sini, hari ini.

Ramli berkata, mangsa yang bermain judi menggunakan pautan tersebut akan kehilangan kesemua wang yang dipertaruhkan.

“Dalam serbuan itu, kita turut merampas sembilan komputer riba, 33 telefon bimbit, seutas rantai manik, lima cincin, enam beg silang, seutas rantai leher, sejumlah mata wang, sebuah router dan modem serta dua jam tangan mewah.

“Kita masih menjalankan siasatan lanjut terhadap sindiket ini mengikut Seksyen 420/511 Kanun Keseksaan,” katanya yang memaklumkan serbuan berkenaan dijalankan menerusi Operasi Khas 30/24.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini