
Oleh: Safwan Sawi
KOTA KINABALU: 12 orang pendatang asing tanpa izin (PATI) warga Pakistan dan China telah dihantar pulang ke negara asal melalui Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA), semalam.
Kesemua PATI yang ditahan di Depot Imigresen Papar itu membabitkan 11 warga Pakistan dan seorang lelaki warga China.
Pengarah Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Sabah, Datuk SH Sitti Saleha Habib Yusoff berkata, program pemindahan tahanan PATI kali ini hanya membabitkan lelaki dewasa.
“PATI yang dipindahkan telah dipercayai dengan munasabah telah melakukan kesalahan di bawah Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 kerana masuk ke negara ini tanpa pas atau permit yang sah selain tinggal lebih masa.

“Kesemua PATI tersebut telah selesai menjalani hukuman penjara dan diperuntukkan proses pemindahan balik ke negara asal atas program pembiayaan sendiri,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau berkata, kesemua 12 PATI terbabit turut melakukan kesalahan mengikut Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
Siasatan dijalankan selepas semua mereka didapati masuk ke negara ini tanpa pas atau permit yang sah selain tinggal lebih masa.
Sementara itu beliau berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana warganegara asing yang menyalahgunakan pas serta kemudahan yang telah diberikan.

Tindakan pendakwaan juga ujarnya akan dikenakan kepada majikan serta pemilik premis yang menggaji warganegara asing tanpa dokumen perjalanan dan pas yang sah dan individu yang melakukan pelanggaran ke atas syarat pas atau permit seperti yang termaktub di bawah Akta 155 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.
“Jabatan juga menasihatkan para majikan dan masyarakat supaya mengambil warganegara asing untuk bekerja di negara ini mengikut saluran yang berlandaskan undang-undang,
“Jabatan ini akan mempergiatkan operasi penguatkuasaan dari semasa ke semasa dalam membanteras PATI di negara ini,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.