comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] 12,800 doktor kontrak bakal diserap dalam tempoh 3 tahun

 

Oleh Hamdi Fahmi Mohamad Zaki

KUALA LUMPUR: Kerajaan komited untuk menyerap 12,800 doktor kontrak dalam tempoh tiga tahun, bermula dengan hampir 4,300 pegawai perubatan kontrak di seluruh negara diserap sebagai lantikan tetap secara sekaligus, tahun ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, penyerapan itu perlu dibuat secara berperingkat mengambil kira implikasi kewangan perlu ditanggung kerajaan, jika ia diselesaikan secara sekali gus.

Katanya baki pegawai kontrak disasarkan untuk diserap menjelang 2025 dan dianggarkan melibatkan peruntukan tambahan sekitar RM1.7 bilion.

Katanya, kerajaan memahami  isu lantikan pegawai kesihatan kontrak ini  telah berlarutan sekian lama.

Foto hiasan”Kita berikan perhatian (isu doktor kontrak). Tidak ada sama sekali niat untuk meremehkan kerana doktor kontrak berkhidmat dengan baik, berkorban masa dan tenaga, selain negara memang memerlukan (mereka).

“Dalam Belanjawan 2023 peruntukan emolumen (bernilai) RM19.7 bilion kepada Kementerian Kesihatan (KKM), peningkatan RM3 bilion berbanding 2022.

“Sejumlah RM3 bilion pertambahan emolumen, termasuk RM1.2 bilion (bagi) kenaikan gaji tahunan, selain peruntukan pertambahan bagi keperluan pegawai kontrak bernilai RM600 juta.

“Pelantikan ke jawatan tetap yang diserap daripada pegawai kontrak pula bernilai RM1.1 bilion,” katanya pada Waktu Pertanyaan Perdana Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Setakat ini, jumlah keseluruhan pegawai perubatan lantikan kontrak ialah 20,330.

Pada November 2021, KKM memaklumkan, 4,186 daripada 10,583 pegawai perubatan kontrak yang sudah tamat perkhidmatan wajib dengan KKM ketika itu, sudah dinilai dan diperakui untuk lantikan tetap oleh Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA).

Daripada jumlah itu, 3,586 membabitkan lantikan pegawai perubatan dan masing-masing 300 pegawai pergigian serta pegawai farmasi.

Loading...
Terkini