MEXICO: 13 kanak-kanak maut di pusat perubatan di tengah Mexico akibat kemungkinan pencemaran beg intravena (IV) di empat pusat kesihatan.
Pegawai kesihatan Mexico berkata, kematian kanak-kanak berusia antara satu hingga 14 tahun itu, yang berlaku di tiga kemudahan awam dan satu klinik swasta di negeri Mexico, mungkin boleh dikaitkan dengan wabak bakteria Klebsiella oxytoca.
Bagaimanapun, pihak berkuasa masih berusaha untuk mengesahkan punca kematian berkenaan dan pada masa sama, Kementerian Kesihatan Mexico mengeluarkan amaran epidemiologi.
Kementerian itu dan pengawal selia kesihatan, Cofepris, turut mengarahkan penggantungan penggunaan beg IV daripada Productos Hospitalarios, tanpa menyatakan sama ada syarikat itu adalah pengedar beg IV yang mungkin sudah tercemar.
“Analisis berterusan sedang dijalankan untuk mengenal pasti punca wabak dan pemantauan sedang dilakukan untuk menolak kemungkinan wabak dalam entiti lain,” menurut kementerian.
Pihak kementerian juga menggesa kakitangan kesihatan untuk segera melaporkan sebarang kemungkinan kes yang dikenal pasti.
Sebelum itu, pihak berkuasa kesihatan mengenal pasti 20 kes Klebsiella oxytoca, di mana 15 disahkan, empat diklasifikasikan sebagai berkemungkinan dan satu disingkirkan.
Daripada 20 kes itu, 13 kanak-kanak meninggal dunia dan tujuh masih dirawat di hospital, manakala siasatan lanjut sedang dilakukan. – REUTERS