comscore
Tumpuan :
Nasional

13 kes baharu, 5 kes pulih hari ini

KUALA LUMPUR: Sebanyak 13 kes jangkitan baharu COVID-19 dilaporkan hari ini, membabitkan lapan kes import dan lima kes penularan tempatan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah, berkata kes import berkenaan mendapat jangkitan dari United Kingdom (UK), Filipina, India, Pakistan, Gambia dan Ukraine.

Katanya, lima kes penularan dalam negara pula ia membabitkan tiga individu warganegara Malaysia dan dua warga asing yang dikesan positif di Johor, Perlis, Sabah dan Sarawak.

“Tiga kes babitkan warganegara ialah masing-masing satu kes di Johor ketika saringan di tempat kerja, satu kes di Sarawak ketika kes saringan daripada Kluster Sentosa dan di Sabah ketika kes saringan bergejala di Hospital Queen Elizabeth, Kota Kinabalu.

“Kes penularan dalam negara babitkan warga asing pula, masing-masing satu kes di Sarawak iaitu daripada Kluster Mambong dan di Perlis ketika kes saringan Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) sebelum dipindahkan ke Depot Tahanan Imigresen Kangar,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Dr Noor Hisham berkata, dengan pertambahan kes baharu itu ia menjadikan jumlah kumulatif kes COVID-19 dalam negara ini sebanyak 8,956 kes manakala jumlah kes aktif dengan kebolehjangkitan COVID-19 adalah 220 kes.

“Hanya dua kes kini dirawat di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan seorang masih memerlukan bantuan pernafasan.

“Bagi kes pulih, sehingga jam 12 tengah hari ini terdapat lima kes pulih dilaporkan menjadikan jumlah kumulatif kes sebanyak 8,612 kes bersamaan 96.2 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” katanya.

Beliau turut memaklumkan tiada pertambahan kes kematian berkaitan COVID-19 dilaporkan dan jumlahnya kekal 124 kes atau 1.38 peratus daripada jumlah keseluruhan kes.

Loading...
Terkini