Oleh: Rusyaidi Hafiz Shahid
SEPANG: Seramai 13 pakar psikologi daripada Pusat Kecemerlangan Kesihatan Mental Kebangsaan (NCEMH) dan Hospital Kuala Lumpur (HKL) disediakan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bagi merawat 449 kanak-kanak yang diselamatkan dalam Op Global.
Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, 13 pakar psikologi tersebut adalah merupakan pasukan petugas khas disediakan KKM untuk melakukan saringan kesihatan mental kepada kanak-kanak tersebut yang kini ditempatkan sementara di PULAPOL Kuala Lumpur.
“10 pegawai dari NCEMH dan 3 pegawai dari HKL ditempatkan di PULAPOL dan mereka menjalankan rawatan psikologi bagi membantu kanak-kanak tersebut mengatasi trauma yang dihadapi”
“Pelbagai aktiviti terapi minda dan psikososial dijalankan termasuklah sinematerapi kepada mangsa kanak-kanak tersebut”
“Ada di kalangan kanak-kanak tersebut yang tidak mengetahui apa yang mereka hadapi dimana ianya adalah satu kejutan kepada mereka” ujar Datuk Lukanisman ketika ditemui media selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Keselamatan Dunia Peringkat Negeri Selangor 2024 di KLIA Terminal 1.
Mengulas lanjut, Datuk Lukanisman turut memaklumkan KKM sentiasa bersiap sedia untuk menyediakan pasukan yang perubatan yang melibatkan psikologi dan kesihatan mental sekiranya terdapat mangsa-mangsa yang diselamatkan dalam Op Global ini diteruskan.
Setakat semalam, Op Global memasuki fasa keempat di seluruh Semenanjung Malaysia dengan serbuan dilakukan di 82 premis, 186 mangsa terdiri daripada 102 lelaki dan 84 wanita berjaya diselamatkan, manakala 155 suspek terdiri daripada 78 lelaki dan 77 wanita ditahan.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, dalam operasi yang disertai JAKIM itu, beberapa risalah mengandungi elemen dipercayai bercanggah dengan ajaran agama Islam serta barang khurafat turut dirampas.
Di Pulau Pinang, empat premis termasuk dua pusat jagaan kanak-kanak dipercayai berkaitan dengan GISBH diserbu dan polis merampas enam buku atau kitab disyaki berkaitan dengan ajaran Al Arqam iaitu gerakan yang difatwakan haram oleh Majlis Fatwa Kebangsaan pada 1994.
Di Melaka, sebanyak 285 barangan berkaitan ajaran Al-Arqam termasuk gambar pengasas Al-Arqam Ashaari Muhammad yang turut dikenali sebagai Abuya ditemukan dalam serbuan ke atas 19 premis berkenaan GISBH.
Di Kelantan, tiga rumah yang dipercayai menjadi penempatan keluarga ketua pegawai eksekutif GISBH di Kampung Panji diserbu dan pelbagai jenis buku serta dokumen berkaitan GISBH ditemukan ditanam di tepi pinggir sungai selain ada yang turut dibakar.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar berkata, isu berkaitan doktrin fahaman GISBH akan dibincang oleh Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia yang bersidang dari Selasa hingga Khamis ini.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) giat memantau kandungan media sosial membabitkan GISBH termasuk video lagu yang ditularkan dan dijadikan parodi oleh segelintir masyarakat.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.