KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) sudah dan sedang melaksanakan lapan tindakan bagi menangani kes penganiayaan dalam kalangan pegawai kadet Akademi Latihan Ketenteraan (ALK) di Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM).
Selain itu, ATM juga bakal melaksanakan lima lagi tindakan jangka panjang sekali gus menunjukkan keseriusan dan komitmen tinggi bagi memastikan keselamatan semua pegawai kadet dan penuntut UPNM menjadi keutamaan.
Markas Angkatan Tentera Malaysia berkata, titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim pada Istiadat Konvokesyen ke-14 UPNM semalam jelas menyatakan keprihatinan terhadap isu penganiayaan yang berlaku di universiti berkenaan.
Katanya, baginda bertitah kes penganiayaan tidak boleh dibiarkan berlarutan atau berlaku sama sekali kerana ia bukan sahaja menjejaskan kesejahteraan pelajar, malah boleh mencemarkan reputasi institusi pengajian tinggi serta ATM secara amnya.
“Berlanjutan dari kes yang berlaku, ATM telah melaksanakan enam tindakan seperti ‘Siasatan Menyeluruh’ iaitu telah dan akan terus menjalankan siasatan menyeluruh dengan kerjasama pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pihak pengurusan universiti bagi mengenal pasti serta mengambil tindakan terhadap individu yang terbabit dalam sebarang pelakuan penganiayaan dalam kalangan pegawai kadet.
“Tindakan kedua adalah ‘Tindakan Disiplin’ iaitu mengambil tindakan disiplin yang tegas terhadap Pegawai Kadet yang didapati bersalah dalam kes penganiayaan termasuklah pemberhentian, penggantungan atau hukuman lain yang selaras dengan peraturan dan etika ATM.
“Ketiga adalah ‘Kerjasama dengan Pihak Berkuasa’ seperti PDRM dan agensi berwajib lain dalam menjalankan siasatan khususnya jika terdapat elemen jenayah,” jelas ATM dalam satu kenyataan.
Katanya, tindakan keempat yang telah dilaksanakan adalah berbentuk ‘Program Kesedaran’ serta program pendidikan dan kaunseling untuk mencegah insiden penganiayaan dalam kalangan pegawai kadet.
Katanya, ATM juga turut melaksanakan ‘Mekanisme Pemantauan’ dengan menambah pemasangan 21 kamera litar tertutup (CCTV) baharu di blok penginapan pegawai kadet menjadikan jumlah keseluruhan CCTV di sembilan blok penginapan berjumlah 38 unit.
Selain itu, tindakan ‘Pengasingan Tempat Penginapan’ terhadap pegawai kadet tahun satu dan pegawai kadet tahun lain dilaksanakan bagi tujuan mengurangkan interaksi fizikal antara pegawai kadet senior dan pegawai kadet tahun satu.
“Tindakan lain yang sedang dilaksanakan ALK adalah ‘Pemantauan Pegawai Kadet’. ALK sedang meningkatkan mekanisme pemantauan dengan mengasingkan tugas Pegawai Bertugas Pasukan yang kini hanya melaksanakan tugasan dan rutin pasukan manakala penugasan Ketua Jurulatih Bertugas diwujudkan bagi memantau secara khusus pegawai kadet serta melaksanakan rondaan dengan lebih kerap terutamanya selepas jam 11 malam.
“Selain itu ‘Pengisian Jawatan ALK’ iaitu memajukan permohonan bagi pengisian perjawatan terutamanya untuk menambah bilangan jurulatih bagi mengurangkan beban tugas sedia ada dan memastikan keberkesanan pemantauan dengan lebih sistematik,” katanya.
Lima lagi tindakan jangka masa panjang yang bakal dilaksanakan oleh ATM adalah Tindakan Tegas Terhadap Pelaku Penganiayaan, Pembangunan Budaya Positif, Pemantauan Berterusan, Jaminan Keselamatan dan Kesejahteraan Pelajar dan Kerjasama dengan Kementerian Pengajian Tinggi.
ATM akan terus konsisten dalam memastikan kejadian penganiayaan tidak hanya ditangani melalui tindakan disiplin dalam kalangan anggota tetapi juga dengan menerapkan budaya ketenteraan yang beretika, berdisiplin dan saling menghormati dalam setiap aspek latihan.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.