comscore
Tumpuan :
Nasional

130,000 pesawah terima insentif pembajakan, penuaian

Pesawah akan menerima bantuan tunai berjumlah RM210 per hektar per musim melalui insentif pembajakan dan insentif penuaian. Foto hiasan

Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin

PUTRAJAYA: Hampir 130,000 pesawah di Semenanjung akan menerima bantuan insentif pembajakan dan insentif penuaian.

Dalam kenyataan hari ini, Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) memaklumkan, melalui kedua-dua insentif itu, pesawah akan menerima bantuan tunai berjumlah RM210 per hektar per musim.

“Kadar insentif pembajakan telah dinaikkan dan insentif penuaian telah diperkenalkan oleh KPKM pada 27 Mei 2024.

“KPKM telah mengambil langkah menambah baik kadar sedia ada bagi insentif pembajakan iaitu daripada RM100 per hektar per musim kepada RM160 per hektar per musim,” menurut kenyataan itu.

Mengulas lanjut, KPKM turut memperkenalkan insentif baharu iaitu insentif penuaian pada kadar RM50 per hektar per musim.

Pada 27 Mei lalu, KPKM menerusi siaran media mengumumkan kenaikan kadar insentif pembajakan serta pengenalan insentif baharu penuaian kepada pesawah.

Selain itu, subsidi diesel kepada nelayan dikekalkan pada harga RM1.65 seliter kepada kategori pemilik vesel perikanan Zon A, B dan C, tertakluk kepada kuota yang ditetapkan.

Kementerian Kewangan (MOF) pula telah mengumumkan pelaksanaan Program Bantuan Subsidi MADANI (BUDI MADANI) termasuk kategori BUDI Agri-Komoditi iaitu bantuan tunai bulanan sebanyak RM200 kepada petani, penternak dan pengusaha akuakultur yang berkelayakan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini