comscore
Tumpuan :
Nasional

134 warga asing tanpa izin ditahan atas pelbagai kesalahan imigesen

FOTO: JIM Melaka / Facebook

MELAKA: Jabatan Imigresen Melaka menahan 134 warga asing tanpa izin termasuk seorang wanita, dalam serbuan di sembilan lokasi berasingan pada Op Sapu dan Op Selera di sekitar Kelemak, Alor Gajah dan Taman Desa Bertam lewat tengah malam semalam.

Pengarah Imigresen Melaka, Anirwan Fauzee Mohd Aini berkata, tindakan berdasarkan aduan awam dan maklumat risikan berkaitan kebanjiran warga asing di dua kawasan berkenaan, yang dipercayai menjadi penempatan pekerja asing dalam sektor pembinaan.

FOTO: JIM Melaka / Facebook

“Semua yang ditahan berumur lingkungan 25 hingga 48 tahun itu membabitkan 101 warga Bangladesh, Indonesia (26), Myanmar (enam) dan seorang warga Nepal, atas pelbagai kesalahan imigresen.

“Semasa serbuan, terdapat warga asing yang cuba melarikan diri dan ada yang bersembunyi di celah kayu dan almari, namun usaha itu gagal dan mereka ditahan anggota penguat kuasa,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambhanya, penempatan yang diserbu itu agak padat dan kotor, hingga menimbulkan rasa tidak selamat dan mengganggu keselesaan penduduk setempat, selain ada premis terpaksa dipecahkan kerana tidak mendapat kerjasama dari penghuni.

Beliau berkata antara kesalahan yang dikenal pasti ialah tiada sebarang dokumen pengenalan diri, tinggal lebih masa di negara ini, memiliki suatu dokumen atau pas yang disyaki palsu dan lain-lain kesalahan di bawah Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155)/ Peraturan-Peraturan Imigresen 1963 dan Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007.

“Semua yang ditahan akan dihantar ke Depot Imigresen Machap Umboo dan pihak Imigresen juga akan mengesan majikan yang menggaji atau melindungi warga asing ini untuk tindakan selanjutnya, selain enam saman dikeluarkan kepada saksi untuk hadir ke pejabat bagi membantu siasatan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini