comscore
Tumpuan :
Nasional

136 GRO ditahan, kelab malam baru beroperasi 2 bulan diserbu

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur, Wan Mohammed Saupee (tengah) ketika ditemui di lokasi operasi.

KUALA LUMPUR: Seramai 136 wanita warga asing ditahan kerana disyaki bekerja sebagai gadis pelayan pelanggan (GRO) dalam serbuan Ops Gegar di premis hiburan yang terletak di dalam sebuah pusat beli-belah di Jalan Loke Yew, di sini semalam.

Pengarah Imigresen Kuala Lumpur Wan Mohammed Saupee Wan Yusoff berkata, berdasarkan risikan selama dua minggu dan siasatan pihaknya mendapati premis yang baru beroperasi selama dua bulan berkenaan menyajikan gadis-gadis dari negara jiran terutama warga Thailand sebagai ‘pelaris’.

“Kelab ini baru sahaja dibuka, kita percaya mereka baru beroperasi dua bulan malah masih menjalani kerja ubahsuai berdasarkan beberapa bilik yang masih dalam proses pembinaan dipercayai untuk dijadikan KTV (karaoke).

“Antara wanita yang ditahan ada menggunakan Pas Pasangan tetapi bila ditanya mana suami mereka tidak boleh jawab.

“Di sini setiap kalungan itu ada harga (tip), kami juga tidak menolak kemungkinan berlakunya aktiviti seksual yang ditawarkan,” katanya pada sidang media di lokasi, di sini awal pagi hari ini.

Kelab malam berkenaan dipercayai menawarkan tip mencecah enam angka berdasarkan kalungan tip bernilai RM100,000 yang ditemui.

Difahamkan, kalungan itu adalah jumlah tip yang diberikan kepada gadis pelayan pelanggan (GRO) oleh pelanggan di pusat hiburan itu.

Dalam operasi bermula jam 11.45 malam itu, ratusan wanita warga asing dipercayai GRO sedang asyik melayan pelanggan cuba melarikan diri sehingga suasana bertukar kecoh namun cubaan mereka untuk meloloskan diri berjaya dipatahkan.

Pelbagai helah digunakan wanita warga asing terbabit bagi mengelak daripada diberkas antaranya menyorok di bawah meja, almari, di dalam laluan-laluan sempit dan di bawah pentas.

Malah kira-kira 10 wanita warga asing dipercayai GRO sanggup berasak-asak menyorok di dalam sebuah stor kecil yang berkunci selama hampir satu jam operasi berjalan bagi mengelak daripada ditahan.

Serbuan itu dijalankan pegawai dan anggota dari Bahagian Penguatkuasa Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) Kuala Lumpur susulan aduan awam berikutan kurang senang dengan aktiviti hiburan hingga awal pagi yang mengganggu masyarakat setempat.

Menurut Wan Mohammed Saupee, keseluruhannya seramai 350 individu diperiksa dalam serbuan itu terdiri daripada pengunjung, penyelia, pekerja warga asing dan tempatan.

Katanya, kesemua individu berusia lingkungan 21 hingga 60 tahun ditahan bagi membantu siasatan mengikut Akta Imigresen 1969/63.

“Warga asing ditahan terdiri daripada satu lelaki dan 113 wanita warga Thailand, wanita Vietnam (12), wanita Laos (1), wanita Filipina (1) dan lelaki Bangladesh (27).

“Turut ditahan lima warga tempatan antaranya majikan, penyelia dan penjaga premis,” katanya.

Turut hadir sebagai pemerhati operasi adalah sekumpulan pegawai daripada Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini