Tumpuan :
Nasional

14 keluarga terperangkap dalam banjir di Kota Marudu

Pasukan bomba menyelamatkan penduduk yang terperangkap dalam banjir di Kampung Beliajung, semalam. – FOTO: JBPM

KOTA MARUDU: Seramai 58 penduduk membabitkan 14 keluarga di Kampung Beliajung, di sini, terperangkap apabila rumah mereka dinaiki air sebelum berjaya diselamatkan bomba, semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kota Marudu, Penolong Penguasa Bomba Mohd Hasbi Hajat berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada jam 6.15 petang.

Berikutan itu, beliau berkata, sepasukan 11 anggota bersama jentera lori, kenderaan pacuan empat roda dan bot digerakkan ke lokasi yang terletak 18 kilometer dari BBP berkenaan.

“Setiba di lokasi kejadian, pasukan mendapati seramai 58 individu terperangkap dalam rumah akibat banjir.

“Mangsa terdiri daripada dua warga emas, 17 lelaki serta 25 wanita dewasa, lima kanak-kanak lelaki dan sembilan kanak-kanak perempuan,” katanya.

Beliau berkata, pasukan bomba kemudian membawa 14 keluarga itu ke Pusat Pemindahan Sementara (PPS) Dewan Sekolah Kebangsaan (SK) Taritipan menggunakan bot Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA).

“Selepas memastikan keadaan selamat dan tiada bahaya lain yang wujud, operasi ditamatkan pada jam 9.09 malam,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini