comscore
Tumpuan :
Nasional

14 kereta disita dalam Op Lumba Haram di Kijal

Foto: NSTP

CHUKAI: Polis menahan 14 kereta susulan operasi lumba haram yang dijalankan sepanjang dua hari berakhir malam tadi, dengan tumpuan utama di kawasan perniagaan Bandar Baru Kijal, dekat sini.

Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan, berkata lokasi berkenaan dipercayai menjadi ‘port’ untuk kumpulan terbabit berkumpul, selain turut memainkan muzik dengan kuat sehingga mengganggu penduduk berhampiran.

Beliau berkata, susulan aduan diterima polis melakukan pemantauan mendapati kegiatan kumpulan itu semakin aktif sejak empat bulan kebelakangan ini.

“Hasil operasi dijalankan 14 kenderaan ditahan Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Daerah Kemaman sebelum dibawa ke balai untuk siasatan lanjut.

“Siasatan kami mendapati ada antara kenderaan itu melakukan pengubahsuaian tidak mematuhi spesifikasi ditetapkan.

“Pihak polis akan bekerjasama dengan Jabatan Alam Sekitar termasuk agensi lain untuk mengenal pasti sama ada kenderaan ditahan itu masih boleh berada di atas jalan raya,” katanya.

Hanyan berkata, susulan operasi itu pihaknya mengeluarkan 50 saman termasuk menyita beberapa motosikal atas pelbagai kesalahan lalu lintas.

“Kita akan menyiasat sama ada kenderaan turut terbabit dalam lumba haram termasuk menyiasat pihak yang menganjurkan aktiviti terbabit,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini