comscore
Tumpuan :
Nasional

150 petugas Tabung Haji sertai ziarah ke tempat bersejarah di Madinah

Masjidil Haram dan Masjid Nabawi.- Foto hiasan

 

MADINAH: 150 petugas Tabung Haji (TH) bagi musim haji 1445H/2024 yang tiba di Madinah pada 2 Mei lalu, dibawa melakukan aktiviti ziarah luar semalam bagi memberi pengalaman yang akan dilalui oleh jemaah haji nanti.

Aktiviti khas itu antara lain bertujuan menanamkan rasa kecintaan terhadap Nabi Muhammad SAW dan perjuangan Baginda serta para sahabat dalam menegakkan syiar Islam.

Antara tempat sejarah dan menarik dilawati ialah Masjid Quba iaitu masjid pertama yang didirikan oleh Rasulullah SAW dan Bukit Uhud, tempat berlakunya perang Uhud di antara tentera Islam Madinah dan tentera kafir Makkah pada Syawal tahun ketiga hijrah.

Bagi Pembimbing Ibadat Haji Tanah Suci TH Khairul Anwar Hasan, aktiviti itu secara langsung memberi peluang kepada petugas TH untuk mendapat fadilat daripada aktiviti ziarah seperti lawatan ke Masjid Quba.

“Memberi pendedahan kepada petugas tentang sirah Rasullah dan Masjid Quba ini contohnya amat penting dalam sejarah Islam kerana ia merupakan masjid pertama yang dibina Nabi Muhammad SAW.

“Oleh sebab itu, jemaah umrah dan haji lazimnya tidak akan melepas peluang solat sunat di masjid ini kerana pahala bagi mereka yang berwuduk dari rumah dan solat sunat di masjid ini akan peroleh ganjaran satu pahala umrah,” katanya ketika ditemui semasa menyertai aktiviti ziarah itu.

Masjid Quba yang terletak kira-kira lima kilometer dari tenggara Kota Madinah dibangunkan di awal peradaban Islam pada 8 Rabiulawal tahun 1 Hijrah/622M di atas tanah kebun kurma dan telah melalui beberapa proses ubah suai oleh kerajaan Arab Saudi.

Semasa ziarah di Bukit Uhud, petugas TH turut diingatkan mengambil iktibar daripada kisah peperangan Uhud yang menyaksikan 70 pejuang Islam dan para sahabat mati syahid kerana ingkar dengan arahan Rasulullah.

“Dalam peristiwa ini, kita boleh mengambil iktibar perlunya patuh dan taat pada arahan ketua. Kita dalam operasi ini (TH) perlu taat kepada ketua supaya operasi haji berjalan lancar,” katanya.- BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini