comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] 1,500 bubur lambuk ‘air tangan’ Permaisuri Agong diagihkan kepada rakyat

KUALA LUMPUR: Setiap kali menjelang Ramadan, Raja Permaisuri Agong Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang cukup dikenali dengan bakat dan kebolehan memasak, pasti tidak ketinggalan menyediakan juadah bubur lambuk Pahang untuk diagihkan kepada rakyat.

Tahun ini, Tunku Azizah berkenan mencemar duli memasak resipi tradisi rakyat Pahang itu di pekarangan surau utama Istana Negara. Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, turut mencemar duli membantu menyediakan juadah berkenaan.

Seri Paduka Baginda berdua turut dibantu kira-kira 200 pegawai dan kakitangan Kelab Kebajikan dan Sukan Istana Negara (KEKSIN) yang bergotong-royong seawal jam 10 pagi tadi.

“Bubur lambuk Pahang juga menggunakan santan, udang kering. Saya pun belajar daripada orang Pahang. Kalau bubur lambuk Johor, dia lain,” titah Seri Paduka pada Program Bubur Lambuk Raja Permaisuri Agong bersama KEKSIN di Istana Negara.

Sebanyak 1,500 bekas bubur lambuk akan diagihkan kepada Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Brickfield, Institut Jantung Negara (IJN), Penjara Kajang dan Rumah Transit Gelandangan.

Raja Permaisuri Agong dijangka menyediakan juadah itu di Padang Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) serta di Penjara Penor di Pahang.

Loading...
Terkini