comscore
Tumpuan :
Nasional

[VIDEO] 155 pasangan pilih Hari Malaysia tamatkan zaman bujang

 

JOHOR BAHRU: Sempena sambutan Hari Malaysia, 155 pasangan mengabadikan kenangan menamatkan zaman bujang menerusi program Walimatul Urus Perdana 2023 anjuran Jabatan Agama Islam Johor dengan kerjasama kerajaan negeri di Pusat Konvensyen Danga Bay, di sini hari ini.

Mereka dinikahkan 50 jurunikah diketuai Kadi Besar Johor, Halid Sono bermula jam 10.40 pagi.

Acara tahunan ini dirasmikan Exco Hal Ehwal Agama Islam Johor, Mohd Fared Mohd Khalid turut dihadiri lebih tiga ribu ahli keluarga dan jemputan.

Sebanyak RM500,000 diperuntukkan bagi menganjurkan program berkenaan tahun ini.

Ia sekali gus membantu mengurangkan kos majlis pernikahan pasangan pengantin.

Program ini mula diperkenalkan ketika negara dilanda wabak covid-19, sebagai usaha kerajaan negeri membantu golongan belia di Johor mendirikan rumah tangga.

“Ini adalah usaha kerajaan Johor dalam meraikan bangsa Johor dan juga mengadaptasikan slogan maju Johor supaya keraian dan manfaat dapatan kerajaan Johor dapat dirasai bersama oleh semua bangsa Johor yang berkelayakan,” kata Mohd Fared selepas majlis berkenaan.

Sementara itu, dua beradik Nurul Ainun Osman, 28 dan kakaknya Nurul Ummi, 37 tahun serta pasangan masing-masing antara menyertai program berkenaan.

Kedua-dua beradik ini mendapat maklumat mengenai majlis Walimatul Urus Perdana melalui aplikasi di Tiktok yang dipromosikan Jabatan Agama Islam Johor.

‘Sebenarnya kita orang jumpa pasal kahwin ramai ramai ini daripada tik tok so saja try try selalunya memang macam dah penuh ke tiba tiba ada dapat lepas tu bila dah dapat kakak pun apply pun dapat juga so macam ini dapat jimat sangat lah sempena Hari Malaysia ini kan rasa satu Malaysia raikan”, jelas Nurul Ainun.

Loading...
Terkini