comscore
Tumpuan :
Nasional

16 motosikal disita kerana ubah suai ekzos, pemandu tiada lesen

Antara motosikal yang disita selepas didapati melakukan pengubahsuaian keterlaluan dalam Op Penguatkuasaan BSPT Ampang Jaya di sekitar Jalan Ampang dan Tasek Tambahan, awal pagi ini. – FOTO: Ihsan polis

AMPANG: Sebanyak 16 motosikal disita selepas didapati membuat pengubahsuaian selain penunggang tiada lesen memandu serta cukai jalan yang sah dalam Op Penguatkuasaan, awal pagi ini.

Operasi bermula kira-kira 1 pagi dijalankan di sekitar Jalan Ampang dan Tasek Tambahan, di sini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, seramai 15 pegawai dan anggota dari Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, terbabit operasi itu.

Menurutnya, pemeriksaan dan penahanan secara rambang dilakukan dengan memfokuskan kepada kenderaan melakukan pengubahsuaian keterlaluan pada bahagian tertentu dan penunggang yang berpotensi melakukan aksi berbahaya.

“Seramai 32 individu diperiksa bersama 27 kenderaan dan hasil pemeriksaan itu, 66 saman dikeluarkan atas kesalahan lazim seperti tiada lesen memandu, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, mengubah suai ekzos serta kesalahan lain.

“Sebanyak 16 motosikal disita kerana kesalahan pengubahsuaian ekzos dan penunggang tiada lesen memandu sah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kesemua motosikal disita dibawa ke Balai Polis Trafik Ampang untuk tindakan lanjut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 6(4) akta sama.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini