comscore
Tumpuan :
Nasional

163 penumpang feri terkandas lebih 5 jam 

LANGKAWI: Feri membawa 163 penumpang dari Kuala Kedah ke Langkawi terkandas lebih lima jam berhampiran Terminal Feri Kuala Kedah, petang semalam.

Kejadian kira-kira jam 6.45 petang semalam di perairan sekitar 7.5 batu nautika dari Terminal Feri Kuala Kedah, berpunca daripada kerosakan dua enjin yang didakwa terhenti secara mengejut.

Pengurus Sumber Manusia dan Operasi Konsortium Ferry Line Ventures, Kapten Baharin Baharom, berkata insiden itu beberapa minit selepas feri berlepas dari terminal di Kuala Kedah.

“Kakitangan teknikal bagaimanapun dapat memperbaiki satu enjin dan feri dapat berfungsi semula. Selepas itu, pengurusan berbincang dengan pelbagai pihak sama ada berpatah balik ke Kuala Kedah atau meneruskan perjalanan ke Langkawi menggunakan satu enjin,” katanya.

Baharin berkata, pada waktu sama, paras air di Kuala Kedah cetek di bawah 1.2 meter dan tidak selamat untuk perjalanan yang mendedahkan feri berisiko tinggi tersangkut pada beting pasir.

“Jika berpatah balik ke Kuala Kedah, mungkin akan hanya tiba di Langkawi sekitar jam 2.30 pagi berikutan air laut di Kuala Kedah mula pasang pada 12 tengah malam, baru boleh feri gantian digunakan.

“Ketika itu, pihak pengurusan memutuskan feri berkenaan perlu meneruskan pelayaran ke Langkawi menggunakan satu enjin dengan kelajuan 9.6 knot dan telah selamat tiba di Terminal Feri Langkawi pada 11.44 malam tadi,” katanya.

Beliau berkata, sepanjang pelayaran menggunakan satu enjin, feri terbabit dipantau dan diiringi bot penunda sebagai persediaan bagi menghadapi sebarang kejadian yang boleh membahayakan penumpang.

“Pihak konsortium amat menititikberatkan kebajikan penumpang, termasuk mengagihkan makanan dibawa bot penunda dari Kuala Kedah. Makanan diagihkan sekali lagi kepada penumpang sejurus mereka tiba di Terminal Feri Langkawi,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini