comscore
Tumpuan :
Nasional

165 bazar Ramadan dan Syawal rosak dilanda ribut

Sebahagian khemah jualan Bazar Ramadan Pelancongan di pekan Kuah, Langakwi yang rosak selepas dilanda ribut. – FOTO: NSTP

LANGKAWI: Sebanyak 135 khemah jualan Bazar Ramadan Pelancongan (BRP) di pekan Kuah di sini, rosak selepas dilanda ribut awal pagi tadi.

Dalam kejadian jam 4 pagi itu, sebanyak 30 khemah lagi yang menempatkan peniaga jualan Bazar Syawal (BS) di parkir Kompleks Pekan Rabu di sini, turut rosak.

Tinjauan mendapati, kejadian itu menyebabkan barang jualan peniaga termasuk pakaian dan peralatan memasak turut rosak.

Kedua-dua bazar itu dianjurkan Majlis Perbandaran Langkawi Bandaraya Pelancongan (MPLBP) dan beroperasi mulai 12 Mac lalu.

Keseluruhannya BRP menempatkan 220 khemah, manakala BS (128 khemah).

Yang Dipertua MPLBP Tunku Iskandar Shah Tunku Muzaffar Shah ketika dihubungi mengesahkan kejadian itu dan memaklumkan pihaknya sedang memberikan bantuan awal kepada peniaga terbabit.

Sebahagian khemah jualan Bazar Ramadan Pelancongan di pekan Kuah, Langakwi yang rosak selepas dilanda ribut. – FOTO: NSTP

“Ya kejadian hujan lebat disusuli ribut awal pagi tadi menyebabkan 135 khemah di BR rosak dan patah, manakala 30 khemah lagi di BS dilaporkan turut rosak.

“Pihak MPLBP akan melakukan kerja pembersihan, manakala kerja pembaikan khemah di BRP akan dilakukan oleh pembekal.

“Peniaga BS yang terkesan dalam kejadian itu boleh memasang khemah sendiri dan kita berharap aktiviti perniagaan di kedua-dua bazar beroperasi seperti biasa pada petang dan malam ini,” katanya.

Sementara itu, seorang peniaga BS, Rosilawati Johari, 49, berkata kejadian hujan disusuli ribut dan petir itu menyebabkan beberapa khemah diterbangkan, selain ada kaki khemah patah.

“Khemah saya diterbangkan sejauh 20 meter dan mendarat atas khemah peniaga lain, masa sama barangan jualan saya khususnya produk kosmetik musnah sama sekali.

“Cuma syukur tiada mangsa cedera walaupun dalam kawasan ini ada beberapa peniaga yang bermalam di sini,” katanya ketika ditemui di tempat kejadian.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini