comscore
Tumpuan :
Nasional

17 lokasi bencana seluruh negara

 

Foto: JKR / Facebook

KUALA LUMPUR: Tujuh belas lokasi bencana dikenal pasti di seluruh negara hari ini, membabitkan masing-masing satu lokasi terjejas banjir dan banjir kilat serta jalan mendap, lapan runtuhan cerun dan masing-masing tiga lokasi jalan runtuh serta jambatan rosak atau runtuh.

Daripada 17 lokasi yang terkesan bencana, lapan adalah jalan Persekutuan, manakala sembilan lagi jalan negeri.

 

JKR menerusi Bilik Gerakan Bencana (BigBen) memaklumkan, kejadian bencana setakat jam 10 pagi itu berlaku di tujuh negeri, membabitkan tiga daerah di Perak, dua daerah masing-masing di Kedah, Johor dan Pahang selain satu kawasan masing-masing di Terengganu, Kelantan dan Selangor.

Di Johor, dua jalan di daerah Kluang, iaitu Jalan Lingkaran Kahang Barat dan Jalan Lingkaran Kahang Barat (Felda Kahang Barat) ditutup kepada semua kenderaan akibat cerun runtuh dan orang ramai boleh menggunakan jalan alternatif, iaitu Jalan J94 Jalan Pintasan Kahang Barat.

Di Kota Tinggi, Jalan Petri Jaya (sebelum pondok pengawal) dibuka satu lorong sahaja akibat terkesan cerun runtuh pada 7 Januari lalu.

Di Kedah pula daerah terjejas akibat bencana termasuk Kubang Pasu dan dua kawasan di Baling.

Jalan Sungai Tiang di Baling ditutup kepada semua kenderaan kerana banjir kilat, manakala jambatan bailey di Kampung Iboi di Jalan Kupang/Iboi/Kampung Tanjung Luas dibuka kepada kenderaan ringan sahaja akibat jambatan runtuh atau rosak.

Selain itu, hanya satu lorong dibuka di Jalan Bukit Kayu Hitam-Bukit Tangga-Sintok (sebelum Kolej Pertanian Bukit Tangga) di Kubang Pasu yang terjejas jalan runtuh.

Di Perak, Jalan Besout 4 di Manjung ditutup kepada semua jenis kenderaan akibat banjir, manakala dua lagi kawasan, masing-masing Jalan Raya Timur Barat (JRTB) Kupang-Gerik-Jeli di Hulu Perak dan Jalan Trolak Selatan di Batang Padang terkesan cerun runtuh mengakibatkan jalan dibuka satu lorong sahaja.

Di Selangor lokasi Hiking Bukit Jugra dan Balai Cerap di Jalan Bukit Jugra di Kuala Langat ditutup untuk semua jenis kenderaan kerana terjejas cerun runtuh.

Di Kelantan, dua jalan di Kuala Krai dibuka satu lorong sahaja akibat jalan dan cerun runtuh.

Manakala di Pahang, dua jalan di Pekan dan satu di Temerloh ditutup kepada semua kenderaan akibat terkesan jalan mendap, jambatan runtuh, rosak dan jalan runtuh.

Sementara di Terengganu  Jalan Durian Mentangau dan Jalan Bukit Besi-Dungun di Dungun dibuka satu lorong sahaja kerana terjejas jambatan runtuh atau rosak dan cerun runtuh.

Loading...
Terkini