comscore
Tumpuan :
Nasional

17 pelayan wanita warga Thailand ditahan 

Foto: NSTP

KUALA TERENGGANU: Taktik sebuah pusat hiburan yang berselindung di sebalik restoran terbongkar apabila premis itu diserbu Bahagian Penguat Kuasa Jabatan Imigresen Malaysia negeri, semalam.

Dalam operasi Gegar bermula jam 8 malam hingga 6 pagi, seramai 17 wanita warga Thailand berusia antara 19 dan 33 tahun ditahan.

Timbalan Pengarah Imigresen negeri (Kawalan), Mat Amin Hassan berkata, operasi itu dibuat berdasarkan aduan orang ramai mengenai kehadiran wanita warga asing di premis berkenaan.

Risikan mendapati pengusaha premis berkenaan menjadikan wanita warga asing sebagai ‘pelaris’ perniagaan termasuk di pusat hiburan yang diusahakan.

“Beberapa warga asing yang sedang leka melayani pelanggan cuba melarikan diri melalui pintu rahsia di belakang premis berkenaan,” katanya dihubungi BH, hari ini.

Difahamkan, pemilik pusat hiburan itu hanya memiliki lesen kedai makan dikeluarkan Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

Mengulas lanjut, Mat Amin berkata, cubaan wanita warga asing untuk meloloskan diri gagal apabila pegawai penguat kuasa mengepung premis itu.

Seramai 52 individu termasuk pelanggan di pusat hiburan itu diperiksa.

Bagaimanapun, hanya 17 wanita warga Thailand yang disyaki melanggar syarat pas dan permit serta tidak mempunyai sebarang dokumen perjalanan yang sah ditahan.

“Kita juga mengeluarkan notis kepada dua warga tempatan yang berkerja di pusat hiburan itu untuk hadir ke pejabat Imigresen negeri bagi mendapatkan keterangan serta membantu siasatan.

“Wanita warga Thailand dihantar ke depot Imigresen Ajil untuk siasatan mengikut Akta Imigresen 1959/1963 dan Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

“Kita meminta orang ramai menyalurkan maklumat mengenai keberadaan warga asing disyaki masuk ke negara ini secara haram dan menyalahi undang-undang serta peraturan Imigresen,” katanya.

Mat Amin berkata, tindakan tegas akan turut dikenakan kepada mana-mana pihak yang menggaji atau melindungi pendatang asing tanpa izin (PATI).

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini