comscore
Tumpuan :
Nasional

18 stesen MRT laluan Putrajaya jalani pra pemeriksaan mulai esok hingga 7 Oktober

Foto hiasan

KUALA LUMPUR: Rapid Rail Sdn Bhd (Rapid Rail) akan melaksanakan sesi pra-pemeriksaan Perakuan Bomba di 18 stesen MRT Laluan Putrajaya secara berperingkat bermula esok hingga 7 Oktober.

Rapid Rail dalam kenyataan memaklumkan, pra-pemeriksaan yang menyeluruh itu dilakukan selepas tamat waktu operasi perkhidmatan MRT iaitu bermula 12 tengah malam sehingga 4 pagi.

Justeru, orang awam atau penduduk di kawasan sekitar stesen yang terlibat dinasihatkan supaya tidak khuatir apabila mendengar penggera kebakaran dibunyikan.

“Ini sebagai langkah persediaan untuk sesi Pemeriksaan Perakuan Bomba yang bakal berlangsung pada 14 hingga 17 Oktober oleh Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JBPM WPKL).

“Inisiatif ini hasil kerjasama bersama Rapid Rail dan Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) bagi memastikan semua sistem pencegah kebakaran stesen MRT berfungsi dengan baik sekiranya berlaku kecemasan dan mengenal pasti protokol keselamatan kebakaran yang berpotensi untuk diperbaiki,” menurut kenyataan itu, hari ini.

Stesen MRT terlibat ialah Stesen Metro Prima, Stesen Kepong Baru, Stesen Jinjang, Stesen Sri Delima pada 1 Oktober; Stesen Kampung Batu, Stesen Kentonmen, Stesen Jalan Ipoh, Stesen Sentul Barat (2 Oktober), manakala 3 Oktober melibatkan Stesen Titiwangsa, Stesen Hospital Kuala Lumpur, Stesen Raja Uda dan Stesen Ampang Park.

Sementara itu, pada 4 Oktober stesen terlibat adalah Stesen Persiaran KLCC dan Stesen Conlay, manakala pada 7 Oktober, sesi ini membabitkan Stesen Chan Sow Lin, Stesen Kuchai, Stesen Taman Naga Emas serta Stesen Sungai Besi.

Pengguna boleh menghubungi talian khidmat pelanggan Rapid KL di 03 -7885 2585 atau rujuk pada laman media sosial Rapid KL untuk maklumat lanjut. -BERNAMA

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa

Loading...
Terkini