comscore
Tumpuan :
Nasional

191 kes cirit-birit, muntah, demam disyaki jangkitan Rotavirus di Tenom

Foto hiasan

KOTA KINABALU: Seramai 191 individu di daerah Tenom dijangkiti gastroenteritis akut (AGE), disyaki berpunca daripada Rotavirus yang menyebabkan muntah, cirit-birit dan demam, bermula 2 Jun lalu.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS), Datuk Dr Asits Sanna, mengesahkan wabak itu dinotifikasikan pada 6 Jun selepas banyak kes dengan gejala sama direkodkan di daerah berkenaan.

Katanya, JKNS melalui Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Tenom mula mengenal pasti peningkatan kes AGE pada 4 Jun menerusi survelan AGE yang dijalankan secara berterusan.

“Siasatan lanjut berdasarkan tarikh mula gejala yang dilaporkan antara 2 Jun 2024 hingga 13 Jun mendapati jumlah notifikasi kes AGE sebanyak 191 kes. Sebanyak 154 kes menerima rawatan pesakit luar, manakala 37 lagi dimasukkan ke hospital untuk rawatan lanjut.

“Sebanyak 33 kes sudah discaj dan hanya empat kes masih berada di wad, tapi dalam keadaan stabil,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini bagi menjawab surat yang tular di aplikasi Whatsapp berkaitan peningkatan kes AGE di daerah Tenom.

Dr Asits berkata, berikutan wabak berkenaan, JKNS mengaktifkan aktiviti kawalan, termasuk siasatan epidemiologi, makmal, persekitaran dan pendidikan kesihatan kepada kes serta orang awam.

“Setakat ini, sebanyak 19 sampel klinikal diambil daripada kes yang dimasukkan ke Hospital Tenom dan didapati 16 sampel klinikal menunjukkan kehadiran Rotavirus.

“Punca jangkitan yang disyaki berkemungkinan daripada pengambilan air tercemar. Sampel persekitaran juga diambil bagi mengesan punca kejadian. Bagaimanapun, punca sebenar kejadian masih dalam siasatan.

“Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) juga dimaklumkan untuk mengambil tindakan pemantauan pengklorinan air terawat di daerah itu,” katanya menjelaskan jangkitan Rotavirus dikaitkan dengan jangkitan pada usus yang biasa berlaku terhadap kanak-kanak.

Katanya, gejala jangkitan ialah cirit-birit, muntah dan demam yang boleh menyebabkan kekurangan air dalam badan atau dehidrasi serta boleh membawa maut sekiranya rawatan lanjut tidak diberikan segera.

“Rotavirus boleh ditularkan melalui air atau makanan yang tercemar dan kontak secara langsung dari najis ke mulut (faecal-oral) seseorang individu. Ia juga boleh merebak secara kontak ke mulut melalui tangan, alat permainan atau permukaan tercemar,” katanya.

Sebagai pencegahan, beliau menyarankan beberapa langkah perlu untuk mengelak jangkitan, antaranya sentiasa mengamalkan kebersihan diri dan kerap mencuci tangan serta memasak makanan dengan cara yang betul dan dimasak dengan sempurna.

“Makanan pula perlu disimpan pada suhu sesuai dan di tempat bersih, penggunaan air perlu dipastikan dari sumber selamat dan bersih, selain hanya meminum air yang sudah dimasak,” katanya mengingatkan orang ramai segera mendapatkan rawatan jika mengalami gejala cirit-birit.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini