comscore
Tumpuan :
Nasional

1BestariNet: SPRM akan tinjau pembekalan data di sekolah terpilih

FOTO: NSTP

BANGI: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) akan melakukan tinjauan ke atas sekolah terpilih bagi menjejaki dan menyiasat isu tuntutan bayaran bagi tender perkhidmatan 1BestariNet, projek kerajaan terdahulu membabitkan Kementerian Pendidikan (KPM) bernilai RM4 bilion.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, siasatan akan mengambil sedikit masa memandangkan ia membabitkan lebih 8,000 sekolah di seluruh negara.

“Isu dibangkitkan pelbagai pihak ini sedang disiasat. Masa (siasatan) panjang lagi kerana banyak tempat perlu dilawati, memandangkan kes ini melibatkan 8,000 sekolah.

“Bayangkan (jumlah sekolah yang banyak), jadi penyiasatan ini akan berleluasa (diperluas) sedikit. Semua sekolah terbabit dalam projek ini yang mana setiap sekolah akan dibekalkan data tertentu.

“Jadi kita kena kaji betul atau tidak pembekalan itu. Dalam penyiasatan kita, tumpuannya untuk melihat pembekalan dibuat atau tidak, kalau dituntut (bayaran) betul atau tidak,” katanya.

Beliau ditemui media selepas Majlis Perasmian Persidangan Penyelidikan Governans, Integriti dan Anti Rasuah Peringkat Kebangsaan kali ke-3 2024 di sini hari ini. Majlis disempurnakan Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar.

Pada 4 September lalu, media melaporkan SPRM memulakan siasatan terhadap tuntutan bayaran bagi tender perkhidmatan 1BestariNet KPM bernilai RM4 bilion yang dianugerahkan kepada YTL Communications Sdn Bhd (YTL).

Pada 2011, kerajaan memulakan projek 1BestariNet dengan matlamat menyediakan akses internet berkelajuan tinggi kepada 10,000 sekolah di negara ini dan melaksanakan Pelantar Persekitaran Pembelajaran Maya (VLE) berasaskan awan.

KPM kemudian menganugerahkan kontrak selama 15 tahun bernilai RM4.1 bilion kepada YTL Communications Sdn Bhd (Yes 4G) bagi pelaksanaan projek itu.

Mengulas lanjut Azam berkata, aspek mutu perkhidmatan bagi pembekalan data yang diperlu dan sudah dibekalkan kepada sekolah adalah antara tumpuan dan fokus siasatan.

“Banyak perkara kita siasat antaranya mutu perkhidmatan yang diberikan kepada sekolah-sekolah. Keduanya adalah ada (syarikat) dimana pembekalan data kepada sekolah tidak dibekalkan.

“Jadi kita perlu lihat perkara ini. Undang-undang rasuah, jika dituntut tapi tidak dibekalkan secara prinsipnya adalah satu kesalahan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini