IPOH: Bekas jurubank kumpulan Goldman Sachs, Roger Ng memberi kerjasama baik kepada polis berhubung siasatan berkaitan pemulangan aset 1MDB di dalam dan luar negara.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata siasatan terhadap Ng adalah proses yang berterusan.
”Setakat ini Roger Ng beri kerjasama memang baik kepada kita. In sya-Allah kita akan teruskan usaha mengesan aset-aset 1MDB kalau ada lagi luar negara,” katanya kepada media selepas merasmikan sambutan Hari Ulang Yahun ke-54, 69 Komando Pasukan Gerakan khas di Kem Sultan Nazrin Shah, Ulu Kinta.
Beliau mengulas perkembangan siasatan terhadap Ng dan aset 1MDB yang telah dikenal pasti pihak polis.
Sebelum ini, media melaporkan Ng yang dihukum penjara 10 tahun di New York, Amerika Syarikat kerana membantu menggelapkan berbilion dolar dana 1MDB akan berdepan pertuduhan di negara ini.