Oleh: Wan Zairul Azri Wan Mohammad Sudin
PUTRAJAYA: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menerima pengisytiharan harta dua anak bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki berkata, Tan Sri Mohkzani dan Mirzan masing-masing mengisytiharkan harta mereka dalam tempoh ditetapkan badan pencegahan rasuah itu.
“Mereka sudah mengisytihar harta kepada kami, namun pihak penyiasatan sedang buat penyelarasan dengan peguam mereka.
“Secara asasnya, mereka sudah isytihar harta, itu paling penting,” katanya pada sidang media di Ibu Pejabat SPRM, di sini hari ini.
Bulan lalu, SPRM dilaporkan memberi tambahan sebulan lagi kepada Mirzan dan adiknya, Mokhzani untuk mengisytiharkan aset masing-masing selepas diberi lanjutan sama pada Mei lalu.
Pada 18 Januari lalu, SPRM memanggil Mirzan yang juga anak sulung Mahathir bagi membantu siasatan berkait kekayaannya dengan notis untuk mengisytiharkan harta dikeluarkan kepadanya.
Mokhzani pula dilapor disiasat disiasat di bawah Akta SPRM 2009 dan Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram (AMLATFPUAA) 2001.
Mirzan dan Mokhzani diarahkan SPRM untuk mengisytiharkan aset mereka sejak 1981 iaitu bermula tahun pertama Dr Mahathir menjadi Perdana Menteri.
Mengulas lanjut, Azam berkata, pihaknya kini masih berhubung dan berkomunikasi dengan peguam Mirzan serta Mokhzani untuk mendapatkan maklumat tambahan serta penjelasan membabitkan pengisytiharan itu.
“Jadi siasatan ke atas aset itu sudah bermula untuk mengenal pasti dan untuk menyiasat lebih lanjut apa yang mereka isytihar, namun apa yang penting, mereka isytihar mengikut tempoh masa ditetapkan,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.