JOHOR BAHRU: Polis menahan dua beradik warga asing disyaki menjadi dalang sindiket minta derma yang kononnya untuk tujuan membiayai pembinaan sekolah tahfiz anak-anak yatim di Songkla, Thailand.
Kedua-dua suspek lelaki berusia 54 dan 47 tahun itu diberkas dalam serbuan kira-kira jam 11 pagi kelmarin di premis kediaman yang dijadikan tempat tinggal pengutip derma bawah sindiket itu, di Taman Tiram Baru, Ulu Tiram di sini.
Ketua Polis Johor, Datuk M Kumar, berkata mereka disyaki berperanan sebagai pemandu serta perancang kegiatan mengutip derma itu, malah hasil ujian saringan awal air kencing mendapati kedua-dua suspek positif ketamin.
Beliau berkata, hasil siasatan awal polis mendapati sindiket terbabit dipercayai bergiat aktif sejak pertengahan 2019 dengan menjadikan kawasan sekitar Johor Bahru, Seri Alam, Kulai, Ayer Hitam dan Simpang Renggam sebagai lokasi sasaran.
“Dalam serbuan itu, polis turut menyelamatkan seorang lelaki tempatan dan lima lelaki warga asing berusia antara 21 hingga 70 tahun yang dipercayai dijadikan sebagai pengutip derma oleh sindiket berkenaan,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Selain itu, Kumar berkata, pasukan merampas dua kereta, enam tabung tertera tulisan sumbangan ikhlas untuk pembinaan sekolah tahfiz anak-anak yatim, dan fail berisi salinan surat pelantikan wakil memohon sumbangan ikhlas yang menggunakan kepala surat didakwa Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) serta Jabatan Agama Islam Johor (JAINJ).
“Kita turut merampas empat keping gambar pembinaan sebuah madrasah, sembilan telefon bimbit pelbagai jenama, 10 keping resit penghantaran wang, cap atas nama madrasah dan wang tunai berjumlah RM9,158.
“Modus operandi sindiket itu ialah memperdaya orang ramai untuk mempercayai bahawa kutipan derma akan digunakan untuk membiayai sekolah tahfiz anak-anak yatim di Songkla,” katanya.
Kumar berkata, dua suspek itu kini direman selama tujuh hari hingga Selasa depan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 12 Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 serta Seksyen 55B Akta Imigresen 1959/63.
“Kes turut disiasat mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1963, Seksyen 3(2) Akta Pungutan Rumah ke Rumah dan Jalanan serta Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952,” katanya.
Beliau berkata, kesemua mangsa yang diselamatkan pula kini ditempatkan di rumah perlindungan selepas permohonan perintah perlindungan sementara selama 21 hari dibenarkan Majistret.
Kumar sekali gus menasihati orang ramai supaya tidak mudah terperdaya dengan taktik sindiket dan wajar memeriksa kesahihan dokumen yang ditunjukkan sebelum menderma.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.