MARAN: Dua beranak tidak sempat menyambut Deepavali apabila terbabit nahas di Kilometer 65.5 Jalan Kuantan-Kuala Lumpur, dekat sini malam tadi.
Dalam kemalangan kira-kira jam 8 malam itu, Sivalingan Baskaram, 43, yang menunggang motosikal dari arah Maran untuk pulang ke rumah di Kampung Sri Jaya, dekat sini maut, manakala anak perempuannya berusia lapan tahun cedera.
Ketua Polis Daerah Maran, Deputi Superintendan Mohamad Zamri Mohamad Zaber, berkata nahas dipercayai apabila sebuah lori dari arah bertentangan membelok untuk masuk ke simpang kanan.
“Penunggang motosikal tidak sempat berhenti lalu terlanggar bahagian belakang sebelah kiri lori berkenaan,” katanya, hari ini.
Katanya, anak perempuan mangsa yang membonceng motosikal dibawa mendapatkan rawatan di Klinik Kesihatan Maran, manakala pemandu lori tidak mengalami sebarang kecederaan.
“Hasil ujian saringan awal air kencing mendapati pemandu lori itu positif dadah methamphetamin. Kes kemalangaan disiasat mengikut Seksyen 44(1)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.