KUALA NERANG: Dua unit bilik di aras tiga asrama Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Kuala Nerang musnah dalam kebakaran hari ini.
Bagaimanapun, tiada pelajar berada di lokasi kejadian ketika kebakaran berlaku.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerang, Penolong Penguasa Bomba Aminuddin Khozali berkata, pihaknya menerima panggilan berhubung kebakaran itu jam 7.37 pagi.
“Sejurus tiba di lokasi, sepasukan 11 anggota dari BBP Kuala Nerang mendapati kebakaran itu membabitkan dua bilik asrama sekolah berkenaan iaitu bilik penyimpanan barang stor dan bilik air kelas A.
“Anggaran kemusnahan adalah 90 peratus dan tidak membabitkan mangsa. Operasi turut dibantu anggota dari BBP Pokok Sena dan bantuan Polis Diraja Malaysia (PDRM) serta Tenaga Nasional Berhad (TNB),” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Aminuddin berkata, api berjaya dikawal jam 7.55 pagi.
“Punca dan kerugian akibat kebakaran itu masih dalam siasatan,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.