KUALA TERENGGANU: Seramai 2,579 mangsa banjir daripada 645 keluarga ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) di dua daerah di Terengganu.
Setakat jam 8 pagi ini, mereka yang terjejas berada di enam PPS iaitu lima di Kemaman dan satu di Marang.
Ia menunjukkan sedikit peningkatan berbanding hanya 2,574 mangsa daripada 643 keluarga malam tadi.
Berdasarkan laporan Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Terengganu, seramai 2,566 mangsa daripada 641 keluarga ditempatkan di lima PPS di Kemaman.
PPS di Dewan Abd Rahman Limbong, DITC Teluk Kalong merekodkan jumlah mangsa teramai iaitu seramai 2,102 mangsa diikuti PPS Sekolah Kemasik (405 mangsa), Balai Raya Padang Kemunting (29 mangsa), Balai Raya Beris Nenas (19 mangsa) dan Balai Raya Meraga Beris (11 mangsa).
Di daerah Marang, jumlah penduduk yang terjejas kekal seramai 13 daripada empat keluarga yang masih berada di Dewan Sivik Wakaf Tapai.
Sementara itu, dua sungai di Terengganu direkodkan melepasi paras amaran manakala lima sungai lagi mencatatkan bacaan melepasi paras waspada.
Berdasarkan laman web rasmi Public Infobanjir Jabatan Pengairan dan Saliran, dua sungai yang melepasi paras amaran adalah Sungai Nerus di Kampung Bukit, Setiu dengan bacaan 12 meter berbanding paras normal 6m dan Sungai Tumpat di Kampung Baru Kemasik, Kemaman dengan bacaan 2.06 m (normal 1m).
Empat sungai yang melepasi paras waspada adalah Sungai Chalok di Jambatan Chalok, Setiu (7.2 m); Sungai Tersat di Kampung Sekayu (1m), Hulu Terengganu (19.04 m), Sungai Telemong di Kuala Ping (FI), Hulu Terengganu (18.22 m) dan Sungai Terengganu di Rumah Pam Pulau Bahagia (F1), Kuala Terengganu (2.13 m).
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.