KENINGAU: Dua kelindan lori 6 tan cedera selepas tersepit dalam kemalangan yang membabitkan lima kenderaan di Kilometer 11, Jalan Kimanis, di sini, hari ini.
Ketua Polis Daerah Keningau, Superintendan Yampil Anak Garai berkata, kemalangan kira-kira jam 12.50 tengah hari itu melibatkan dua lori termasuk sebuah treler, dua pacuan empat roda dan sebuah Toyota Avanza.
Katanya, semua kenderaan bergerak dari arah Papar menghala ke Keningau melalui Jalan Kimanis.
“Apabila sampai di KM 11, lori 6 tan berkenaan dipercayai hilang kawalan semasa menuruni bukit dan terus merempuh Toyota Fortuner.
“Akibat kejadian itu, kenderaan pacuan empat roda berkenaan terus melanggar tiga lagi kenderaan dihadapannya sehingga terbabas ke tepi jalan,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Yampil berkata, semua pemandu tidak mengalami kecederaan dalam kemalangan berkenaan namun dua kelindan tersepit dalam lori.
Katanya, kedua-dua mangsa berjaya dikeluarkan oleh pasukan bomba sebelum dibawa ke hospital menggunakan ambulans.
“Setakat ini, tahap kecederaan masih belum dapat dipastikan dan siasatan lanjut juga sedang dijalankan,” katanya.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.