comscore
Tumpuan :
Nasional

2 kereta cuba seludup 1,725 liter petrol disita

TUMPAT: Dua kenderaan yang sarat dengan muatan petrol seludup disita di sebuah stesen minyak di Kampung Terbak, di sini, pagi tadi.

Sebanyak 69 tong plastik mengandungi 1,725 liter petrol ditemukan dalam dua kereta jenis Proton Wira Aeroback dipercayai untuk diseludup ke Thailand.

Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan, Azman Ismail berkata, dua kenderaan itu disita ketika pasukannya menjalankan Ops Bersepadu Pencegahan Ketirisan Barang Kawalan bersama Pasukan Polis Marin (PPM) Wilayah Tiga, Pengkalan Kubor.

“Kira-kira jam 7 pagi tadi, pasukan kami ternampak dua kereta itu di stesen minyak di Kampung Terbak sedang membuat pengisian petrol dalam tong plastik yang dimuatkan dalam kenderaan masing-masing.

“Pemeriksaan lanjut menemui 69 tong plastik mengandungi 1,725 liter petrol di bahagian penumpang hadapan dan belakang serta dalam bonet kedua-dua kereta itu.

“Dua lelaki yang juga pemandu masing-masing berusia 30-an dan 40-an ditahan kerana gagal mengemukakan sebarang dokumen dan rekod berkaitan pemilikan barang kawalan,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Azman berkata, petrol yang dirampas dianggarkan bernilai RM3,536.26 dan hasil soal siasat yang dibuat, kedua-dua lelaki yang saling mengenali itu membuat pengisian petrol di beberapa stesen minyak sekitar Tumpat sejak awal pagi lagi.

Menurutnya lagi, pemilik stesen minyak serta seorang pekerja turut ditahan untuk siasatan lanjut bagi mengetahui sama ada bersubahat atau tidak.

Kes disiasat mengikut Akta Kawalan Bekalan 19691.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini