comscore
Tumpuan :
Nasional

2 kilang kitar semua e-waste beroperasi tanpa lesen diarah tutup 

MPKS menyita dua kilang kitar semula e-waste yang menimbulkan kacau ganggu bau dan bunyi di Kampung Sungai Terap, Rabu lalu. FOTO IHSAN MPKS

KUALA SELANGOR: Jalankan perniagaan tanpa lesen selain menimbulkan kacau ganggu bau kimia dan bunyi bising.

Itu tindakan dua kilang kitar semula e-waste di sekitar Kampung Sungai Terap, di sini, yang beroperasi sejak tahun lalu.

Bagaimanapun operasi kedua-dua premis itu berakhir selepas diserbu Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) menerusi operasi bersepadu kelmarin.

Pengarah Jabatan Penguatkuasaan MPKS, Mohamad Lutfi Mislah Hudin berkata, operasi dijalankan hasil maklumat orang awam dan risikan pihaknya berhubung premis beroperasi tanpa kebenaran dan ingkar terhadap notis dikeluarkan sebelum ini.

“Semasa pemeriksaan dilakukan, didapati kilang itu menyimpan dan memproses buangan terjadual seperti besi, buangan bateri kering, Plastic Circuit Board (PCB) serta buangan tembaga.

“Susulan itu, kedua-dua premis diarah tutup serta merta dan dikenakan kompaun ekoran kesalahan tidak memiliki lesen aktiviti mengilang,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, sitaan turut dikenakan membabitkan empat unit jentera pengangkat ‘forklift’ dan peralatan e-waste.

“Kes disiasat mengikut Undang-undang Kecil Pelesenan Tred, Perniagaan dan Perindustrian (Majlis Daerah Kuala Selangor) 2007 kerana menjalankan perniagaan tanpa lesen dari pihak berkuasa.

“Selain itu, Jabatan Alam Sekitar (JAS) turut mengambil sampel barang-barang e-waste untuk dihantar ke Jabatan Kimia Malaysia bagi proses analisis,” katanya.

Menurutnya, Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) turut melakukan tujuh tangkapan warga asing untuk semakan dokumen.

Manakala Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) membuat pemeriksaan premis dan menyita arak dan rokok yang tiada duti import.

“Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) memotong meter air di kedua-dua premis dan Tenaga Nasional Berhad (TNB) turut mengeluarkan notis pemotongan bekalan elektrik,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini