
PASIR GUDANG: Polis menahan dua lelaki selepas terbabit dalam pergaduhan di Taman Johor Jaya, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Seri Alam, Asisten Komisioner Mohd Sohaimi Ishak berkata, lelaki tempatan berusia antara 21 hingga 28 tahun itu ditahan pada 6 petang dan kini direman tiga hari bermula hari ini hingga Jumaat.
Katanya, mereka dipercayai bergaduh akibat salah faham antara peniaga dan pelanggan berhubung isu harga barang mahal.
“Hasil semakan mendapati kedua-dua suspek mempunyai tujuh rekod jenayah lampau, namun ujian saringan air kencing mereka negatif dadah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut Mohd Sohaimi, seorang lagi suspek lingkungan usia 30-an dipercayai pelanggan, yang turut terbabit pergaduhan masih diburu.
Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 160 Kanun Keseksaan kerana gaduh gempar, Seksyen 323 Kanun Keseksaan kerana dengan sengaja menyebabkan kecederaan, dan Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat diminta menghubungi Pegawai Penyiasat, Inspektor Hamizan di talian 010-4338032 atau Pusat Kawalan Daerah Seri Alam 07-3871422,” katanya.
Terdahulu, tular rakaman video berdurasi satu minit 41 saat yang dimuat naik di media sosial menunjukkan tiga individu bergaduh dan cuba ditenangkan seorang wanita.
Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.