Tumpuan :
Nasional

2 lelaki ditahan, pokok hiasan bernilai RM2.5 juta dirampas

PGA rampas pokok hiasan membabitkan pelbagai jenis termasuk orkid dan bromeliad membabitkan nilai keseluruhan RM2.5 juta di dua lokasi berasingan di sini, malam kelmarin. -FOTO Ihsan PGA

RANTAU PANJANG: Pasukan Gerakan Am (PGA) merampas pelbagai pokok hiasan termasuk orkid dan bromeliad membabitkan nilai keseluruhan lebih RM2.5 juta di dua lokasi berasingan di sini, malam kelmarin.

Serbuan dilakukan di Kampung Lubok Stol dan Kampung Kubang Rambutan jam 8 dan 9.45 malam oleh Batalion 8 PGA itu turut menahan dua lelaki tempatan.

Komander Briged Tenggara, Datuk Nik Ros Azhan Ab Hamid berkata, serbuan pertama di Kg Kubang Rambutan dilakukan selepas pihaknya menahan lori yang dipandu dalam keadaan mencurigakan.

“Hasil pemeriksaan mendapati terdapat pelbagai jenis tanaman hiasan jenis Pokok Citharexylum Spinosum dan Juniperus Chinensis yang dipercayai diseludup dari Thailand ditemui di dalam lori itu tanpa dokumen yang sah.

“Suspek seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun dipercayai menjadi penghantar untuk menyeludup tanaman itu ke pasaran tempatan turut ditahan.

“Anggaran nilai rampasan keseluruhan bernilai RM510,000 dan kes disiasat di bawah Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta167) Seksyen 5,” katanya.

Menurut Nik Ros Azhan, serbuan kedua di Kampung Lubok Stol jam 9.45 membawa kepada rampasan pelbagai jenis tanaman hiasan jenis orkid dan Bromeliad yang dipercayai diseludup dari Thailand selepas menahan sebuah lori dalam keadaan mencurigakan.

“Pada masa sana kita menahan pemandu lori berusia 36 tahun dan nilai keseluruhan rampasan RM2 juta.

“Kedua-dua kes disiasat mengikut Akta Kuarantin Tumbuhan 1976 (Akta167) Seksyen 5. Suspek dan barang rampasan dibawa ke Balai Polis Rantau Panjang untuk tindakan selanjutnya,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini