Tumpuan :
Nasional

2 lelaki menyamar pegawai SRPM ditahan di Pasir Mas

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat menunjukkan barangan yang dirampas milik dua individu berusia 25 dan 31 tahun yang dipercayai menyamar sebagai pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak tiga tahun lalu. FOTO: NSTP

KOTA BHARU: Dua individu yang dipercayai menyamar sebagai pegawai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sejak tiga tahun lalu ditahan polis di Pasar Tasek Raja, Pasir Mas, pagi semalam.

Suspek berusia 25 dan 31 tahun itu ditahan jam 11 pagi semalam dan jam 9 malam tadi oleh sepasukan pegawai dan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) menerusi Op Taring Wawasan.

Ketua Polis Kelantan, Datuk Mohd Yusoff Mamat, berkata hasil maklumat dan risikan pihaknya menahan seorang lelaki di pasar di Pasir Mas.

Katanya, hasil tangkapan berkenaan, pihaknya merampas pelbagai barangan barangan termasuk sepucuk pistol berisi lapan butir peluru, gari dan kad kuasa SPRM disyaki palsu dalam kenderaan pacuan empat roda dinaiki suspek.

“Susulan tangkapan berkenaan, pada jam 11.30 pagi, satu serbuan dilakukan di sebuah rumah di Kampung Kampung Kasa di Pasir Mas.

“Serbuan berkenaan menemui pelbagai peralatan dan barang seperti set drone berlambang SPRM, lambang SPRM pelbagai saiz, baju berlambang SPRM dan lain-lain yang digunakan untuk penyamaran sebagai pegawai SPRM.

“Susulan tangkapan pertama itu juga, kita menahan seorang lagi suspek yang juga penjawat awam sekitar IPD Pasir Mas jam 9 malam tadi dipercayai turut bersubahat dengan suspek pertama,” katanya pada sidang media di sini, hari ini.

Beliau berkata, semakan lanjut mendapati kedua-dua suspek tidak mempunyai rekod lampau dan hasil ujian air kencing juga negatif.

“Siasatan juga mendapati, suspek mengaku memiliki barangan SPRM sejak tiga tahun lalu dan melakukan pembelian barangan terbabit di dalam talian. Kita syaki dengan barangan yang dirampas itu, dia menyamar sebagai pegawai SPRM.

“Namun siasatan lanjut masih dilakukan kerana kes ini sedikit pelik memandangkan suspek turut miliki senjata api. Apa tujuan dia menyamar sebagai pegawai SPRM sama ada untuk peras ugut pun kita akan siasat,” katanya.

Mohd Yusoff berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1971, Seksyen 8 Akta Senjata 1960 dan Seksyen 170 Kanun Keseksaan.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini