Tumpuan :
Nasional

2 lelaki termasuk remaja 14 tahun ditahan dalam Op Khas Samseng Jalanan

FOTO: NSTP

SEREMBAN: Padah menunjukkan aksi lagak ‘wheelie’, dua lelaki termasuk seorang remaja berusia 14 tahun ditahan dalam Op Khas Samseng Jalanan di Matahari Heights, dekat Senawang, di sini, awal pagi hari ini.

Terdahulu, kedua-duanya seolah tidak mempedulikan nyawa masing-masing malah merisikokan keselamatan pengguna jalan raya lain dengan aksi mengangkat tayar hadapan.

Ketua Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Negeri Sembilan, Muhammad Zaki Ramat berkata, seramai 85 anggota dan sembilan pegawai terbabit dalam operasi selama tiga jam bermula jam 2 pagi itu.

“Operasi dijalankan di Jalan Persiaran Senawang 1. Kami memeriksa 305 dan sebanyak 321 saman dikeluarkan dengan kesalahan nombor pendaftaran paling tinggi (69) diikuti lesen memandu (49).

“Sebanyak 19 motosikal disita mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya ketika ditemui, hari ini.

FOTO: NSTP

Beliau berkata, tangkapan dibuat mengikut Seksyen 42(1), 108 (3)(f) APJ 1987 dan Seksyen 29(1) Akta Kanak-Kanak.

Katanya, seorang lagi penunggang motosikal turut ditahan kerana menggunakan nombor palsu.

Muhammad Zaki berkata, operasi dilakukan di lokasi itu susulan aduan diterima pihaknya berkenaan aktiviti samseng jalanan di situ terutama pada hujung minggu.

“Kita terima beberapa aduan daripada orang awam yang terganggu dengan bunyi bising geng motosikal ini yang berlumba sesama mereka sambil mempamerkan aksi berbahaya.
“Di kawasan itu juga berhampiran dengan perumahan dan kita dapat lihat mereka akan mula aktif sekitar jam 12 tengah malam hingga 3 pagi,” katanya.

Katanya, kumpulan terbabit pada awalnya didapati datang ke Senawang dari luar Negeri Sembilan dengan kebanyakannya dari Lembah Klang untuk makan dan lepak tetapi mula teruja sebelum menguji kelajuan apabila berkonvoi untuk pulang.

Katanya, mereka juga seronok untuk beraksi di laluan berkenaan kerana menganggap aksi mereka ditonton orang ramai.
“Kalau kita tengok orang ramai penuh di kedai-kedai makan di situ. Walaupun tidak semua terbabit, tetapi ada yang datang melihat aksi mat rempit ini.

“Ia sebenarnya boleh menggalakkan lagi aktiviti ini dan kita dapati ada yang sampai bawa kerusi ‘healing’ hanya untuk menonton aksi berkenaan,” katanya.

Ikuti sekarang! WhatsApp Channel rasmi Buletin TV3 untuk berita terkini setiap masa.

Loading...
Terkini